Anda juga pasti akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki diri anda agar anda dipandang orang dan anda dihargai oleh mereka bukan?? Pernah seorang adik bertemu dengan ana dan mengatakan bahawa dia terasa asing dan dipinggirkan oleh kawan-kawan sekelasnya di sekolah. Pada waktu itu, air mata adik tersebut tidak berhenti dan berterusan mengalir membasahi pipinya.
Dipinggirkan dan tidak dipandang oleh manusia sahaja pun telah membuatkan kita berasa sangat sedih. Tetapi, terlupakah kita bahawa kita masih sangat beruntung kerana kita masih dipandang Allah andai kita masih berpegang teguh dengan agama Islam dan membudayakan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian kita. Mungkin hal ini terjadi kerana pada waktu itu Allah nak kita renung kembali perjalanan hidup kita yang lalu. Mungkin kerana terlalu menjaga perasaan manusia sehinggakan kita membenarkan atau membolehkan perkara yang dilarang oleh Allah. Natijahnya, perbuatan kita itu akan mengundang kemurkaan Allah. Kita perlu ingat bahawa Allah itu pemilik hati kita yang bolak balik ini. Allah berkuasa ke atas hati seseorang.
Apabila Allah murka kepada seseorang hambaNya ,beerti Allah tidak redha padanya. Apabila Allah tidak redha pada dirinya, semua manusia juga tidak akan redha padanya. Kesannya, tiada seorang pun yang memandang pada kita. Lagi menyayat hati dan menyedihkan apabila kita tidak dipandang oleh Allah kerana kita membelakangi apa yang disuruh oleh Allah semata-mata ingin menjaga hati manusia dengan mendahulukan arahan manusia. Ana bawakan kata-kata Malik bin Dinar yang berbunyi seperti ini :
“Buatlah apa yang Allah suka walaupun orang ramai membenci perbuatanmu itu. Jangan buat apa yang orang ramai suka kerana takut-takut Allah membenci perkara tersebut”.
Moga kata-kata Malik bin Dinar itu mendorong kita untuk mengatakan perkara yang benar dan memastikan setiap perbuatan kita itu berlandaskan apa yang terkandung dalam Al-Qur’an dan hadith. Tegaslah dalam sesuatu perkara dengan mengatakan yang HAK tetap HAK (yang benar tetap benar) dan yang BATIL tetap BATIL (yang salah tetap salah). Janganlah dicampuradukkan kedua-duanya kerana yang HAK (kebenaran) itu jelas dan yang BATIL (kesalahan) itu juga jelas.
Persoalannya, bagaimana agaknya kita ingin dipandang oleh Allah? Tahukah kita bahawa HATI merupakan salah satu tempat pandangan Allah terhadap hambaNYA? Hati merupakan tapak semaian iman. Apabila keimanan telah bertapak dalam hati seseorang manusia, ianya akan diterjemahkan dalam bentuk amalannya kepada Allah seperti solat yang khusyuk. Selain itu, hati juga merupakan raja bagi seluruh anggota badan seperti sabda Rasulullah yang membawa maksud :
“PERHATIKAN! Sesungguhnya di dalam badan seseorang itu ada seketul daging ; apabila ia baik maka baiklah seluruh anggota badan dan apabila ia rosak maka akan rosaklah sekalian anggota badan. Ketahuilah, itulah yang dikatakan HATI.
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Maka hati yang baik akan mendorong anggota badannya untuk berbuat kebaikan. Manakala, hati yang rosak akan mendorong anggota badannya untuk berbuat kerosakan serta kemaksiatan. Oleh itu, maka tidak hairanlah musuh manusia iaitu iblis dan syaitan menjadikan hati manusia sebagai sasarannya untuk menyesatkan manusia daripada jalan kebenaran. Kedua-dua musuh manusia ini akan berusaha untuk selalu menggoda hati manusia dengan membisikkan kepadanya suatu kesenangan atau kebahagiaan duniawi ini.
Sedikit demi sedikit kedua-dua musuh manusia ini memanfaatkan nafsu dan syahwat yang telah sedia ada dalam hati manusia sebagai kesempurnaan fitrahnya dengan cara menyalahgunakannya. Apabila hati seseorang manusia telah berjaya digoda oleh iblis dan syaitan, matanya telah tertutup dengan bayangan kelazatan nafsu dan syahwat sehingga manusia tersebut sanggup melupakan Allah iaitu Tuhan yang telah menciptakannya. Manusia tersebut akan semakin berani untuk membuat maksiat yang mengakibatkan satu titik hitam telah mengotori hatinya. Inilah natijah bagi manusia yang lalai daripada mengingati Allah dan tidak merasakan kewujudan Allah yang Maha Melihat.
Lebih membimbangkan lagi apabila manusia bersikap ‘acuh tak acuh’ terhadap kewujudan titik hitam yang mengotori hatinya itu. Kotoran itu akan mendap di dalam hatinya kerana tidak ada usaha yang dilakukan oleh manusia tersebut untuk membersihkannya kembali. Sebaliknya, manusia tersebut sering melakukan maksiat yang mendatangkan dosa dari sekecil-kecil dosa sehinggalah menjadi dosa besar yang menyebabkan kekotoran dalam hatinya semakin bertambah teruk dan akhirnya iblis dan syaitan berjaya menguasai hati manusia tersebut. Nah, apabila hati telah berjaya ditawan oleh syaitan dan iblis, maka hati akan merasa seronok untuk mengerjakan maksiat sehingga sampai ke tahap merasakan bangga untuk melakukannya berulang-ulang kali.
Hati sebeginilah yang dikatakan hati yang keras dan hati yang terlalu sakit. Jenis hati ini sangat susah untuk diubati. Namun, peluang untuk merawatnya masih ada. Pintu taubat masih lagi terbuka untuk menerima sesiapa sahaja yang benar-benar mengharapkan keampunan. Titik hitam yang mengotori hati masih dapat dibersihkan dengan air taubat asalkan pesakit bersedia untuk bertaubat dan dirawati. Apa yang pasti sepanjang proses penyembuhan atau pembersihan hati itu semula, sudah semestinya pesakit tersebut perlu menjaga pantang larang yang boleh merosakkan hatinya kembali.
Manusia akan segera berjumpa dengan doktor apabila jasmaninya diserang penyakit ataupun luka untuk mendapatkan rawatan kerana bimbang sekiranya penyakit ataupun luka tersebut merebak ke seluruh anggota badan yang boleh membawa kepada kematian yang memisahkan manusia dari segala jenis kelazatan dan kebahagian di dunia. Namun, amat menyedihkan apabila majoriti manusia pada hari ini tidak memberi perhatian apabila rohaninya diserang penyakit sedangkan penyakit yang ada dalam hati inilah yang lebih mustahak dan lebih utama untuk mendapat rawatan yang rapi. Hal ini kerana jikalau kita biarkan penyakit rohani ini berterusan dan kita tidak mahu membuat rawatan, manusia bukan sahaja terpisah dari kelazatan dan kebahagiaan yang bersifat sementara di dunia tetapi menusia itu juga akan terpisah dengan kelazatan dan kebahagiaan yang kekal abadi di syurga.
Lihatlah! Betapa besar natijahnya apabila hati menjadi rosak dan kotor. Hati yang sesat dan telah berjaya dipesongkan oleh syaitan dan iblis ini akan melakukan maksiat yang berterusan dan manusia tersebut menjadi sangat rugi apabila kematian menjemput pada waktu manusia tersebut belum pun sempat untuk bertaubat. Na’uzubillahi min zalik. Oleh itu, marilah kita memeriksa hati kita masing-masing, apakah hati kita sihat atau hati kita berpenyakit? Adakah selama ini hati kita menjadi tempat semaian iman yang mantap dan menjadi sumber kekuatan yang dapat mendorong untuk kita berbuat kebaikan atau hati kita telah menjadi sarang iblis dan istana syaitan yang telah menjadi sumber kekuatan yang selalu mendorong untuk kita melakukan dosa serta kemaksiatan?
Cubalah kita sentuh hati kita masing-masing dan bertanya kepada diri sendiri sejauh mana keta’atan kita kepada Allah… Sudahkah kita merancang untuk masa depan kita di akhirat nanti seperti kita merancang masa depan kita di dunia ini? Adakah kita sudah berasa cukup dengan persiapan yang telah kita sediakan untuk menghadapi kematian yang akan menemui kita pada bila-bila masa sahaja? Ayuhlah, kita bersiap sedia sebelum terlambat dan bertaubat disaat pintu taubat masih terbuka luas dan masih bersedia untuk menerima taubat hamba-hamba Allah yang ikhlas mengharapkan keampunan Allah.
Marilah kita berusaha untuk mengubati hati dan membersihkan jiwa daripada ‘akhlak mazmumah’ (sifat-sifat yang tercela) serta hiasilah hati kita dengan ‘akhlak mahmudah’ (sifat-sifat terpuji) dengan mencontohi keperibadian Rasulullah dan cintailah baginda agar kita tergolong dalam golongan umat baginda yang mendapat syafaat baginda kelak.
Bertemakan penulisan kali ini iaitu watch out, marilah kita bersama-sama menjaga hati kita dan berusahalah mencari penawarnya di kala hati merasa sakit kerana ketahuilah hati manusia perlu kepada penawar dan penawarnya apabila manusia bertaubat serta berjinak-jinak dengan pemilik hati iaitu Allah. Ingatlah! Dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang. Dalam surah Asy-Syu’ara ayat 88-89 yang bermaksud :
“Pada hari itu (hari kiamat) sudah tidak berguna lagi harta benda dan anak-pinak kecuali orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang sihat (bersih)”.
InsyAllah, pada penulisan akan datang, ana akan kupas satu-persatu buku 40 hadis penawar hati untuk kita sama-sama mengubati hati kita dan memperbaikinya dengan merenung serta membaca hadis-hadis penawar hati tersebut. Jangan lupa ikuti penulisan akan datang, insyAllah.
0 comments:
Post a Comment