Footer Right Content

Thursday, May 10, 2012

Program Titian Kasih Kg Sambah 2012


Kami dimaklumkan ada rombongan dari Sabah Care dan Semenanjung berminat menziarahi kampung angkat kami, Kampung Sambah pada 5-6 Mei 2012. Misi dakwah. Ulamak muda. ‘Ulamak warisan anbiya’. Hati berbunga riang. Kecil tapak tangan, satu Tuaran kami tadahkan. 

Demi meraihkan kedatangan para tetamu yang dikasihi kerana Allah, kami bertolak ke Kampung Sambah sehari lebih awal dari tarikh kedatangan mereka. Senja hari Jumaat kami sampai di Kampung Sambah. Kedengaran sayup-sayup suara azan dari surau. Senggang masa antara maghrib isyak kami isi dengan mengadakan mesyuarat. Sesudah solat isyak hampir satu jam kami menadah telinga mendengar nasihat berharga dari imam. Terkesan dengan sifat sabar sahabat-sahabiah seperjuangan.
Tanpa dirancang, melihat hampir semua sahabt-sahabiah hadir solat subuh berjemaah di surau, lantas kami mengadakan usrah. Topik usrah 'Dakwah itu Cinta'. Kebanyakan membicarakan bagaimana mereka mula terlibat dengan kerja-kerja dakwah dan lebih khusus lagi bila hidayah itu sampai menyapa jiwa raga tanpa dapat di gambarkan melalui kata-kata.


Ada yang bermula ketika buat pertama kali hadir ke masjid. Ada yang tersentuh dengan kalimah lirik nasyid, meski pun pada asalnya giat bernasyid hanya sekadar untuk suka-suka. Ada yang tersentak ketika menonton satu ceramah di kaca televisyen. Ada yang rasa terpanggil ketika liqa’ bersama para sahabat saat diri tegah menyatakan tidak mampu memikul amanah yang diberikan. Itu antaranya.


Sementara yang lain ada yang membicarakan mehnah dan tribulasi dalam perjuangan. Dakwah menuntut pengorbanan sepertimana cinta. Semakin akrab dengan sahabat-sahabat, semakin mudah pula air mata kami tumpah seperti panyakit berjangkit, pantang ada yang memulakannya. Penghujung usrah tampak semua ceria kembali.
---------------------------------------------------
Detik yang dinanti itu tiba jua. Sapaan mesra “ Assalamualaikum abang-abang dan kakak-kakak, selamat datang ke Kampung Sambah” bergema menyambut kedatangan para tetamu. Terima kasih atas kerjasama padu adik-adik dari Kampung Sambah. Kategori KRU Tunas. Senyum seindah suria jelas terpancar pada wajah para tetamu dan begitu juga penduduk kampung yang hadir bersama. Senyuman ahli-ahli KRU Tuaran lagilah, tidak dapat digambarkan. Senyuman bahagia, merungkai segala resah di jiwa. Nikmat kurniaan Ilahi. Alhamdulillah. Takbir!

Dimanakah para tetamu ini akan menginap? Di kampung ini tidak ada hotel. Homestay pun tidak ada. Penyelesaiannya mudah sahaja, guna konsep keluarga angkat. Majlis perasmian penyerahan keluarga angkat berlangsung meriah. Tambah meriah dek MC yang memang sentiasa ceria dan kelakar orangnya. Kasihan Ustaz Fairus dikatakan tidak ada dalam majlis. Terpaksalah Ustaz Fairus mengaku bahawa dialah Fairus. Serupa nama tapi tak sama orang. Mesti MC ingatkan Abang Fairuz kesayangannya. Hehehe.




Selesai menjama jamuan ringan yang telah disediakan sambil beramah mesra, para tetamu bergerak ke rumah keluarga angkat masing-masing. Ada sesi makan-makan bersama keluarga angkat masing-masing. Bestnya. Mangan nyak mangan asal do kurung-kurung = Makan tak makan asalkan kumpul-kumpul.
Jam menunjukkan pukul 2 petang. Kala ini dua aktiviti berjalan serentak. Satu pasukan berada di Surau Kampung Sambah bersama adik-adik untuk slot ‘Smart Solat’. Sementara, satu pasukan lagi ziarah dari rumah ke rumah untuk menjalinkan ukhuwahfillah. Meriahnya suasana.









Setelah berkumpul dan solat asar berjemaah di surau, dua aktiviti lain lagi berjalan serentak tidak termasuk pasukan ziarah yang masih meneruskan sesi ziarah ke rumah-rumah yang seterusnya bertemankan rintik-rintik hujan. Apakah aktiviti tersebut? Pertama, sukaneka dan kedua, masak-memasak untuk jamuan makan malam. Ada yang kecewa sebab tidak dapat main futsal. Pasrah dek hujan.








Selang antara solat maghrib dan isyak, santapan rohani terhidang untuk dijamah oleh hati nurani. Forum Bicara Ad-Din mengupas topik ‘Peranan Manusia sebagai Khalifah di Muka Bumi’. Kupasan yang mantap. Alhamdulillah. Pun begitu rohani masih dahagakan ilmu. Hakikat ilmu, makin bertambah, makin rasa tidak cukup. Berbeza dengan makanan jasmani.



Sekarang tibalah masa menjamu selera. Kalau datang ke Kampung Sambah tidak sah rasanya kalau tidak makan ketam dan udang. Kali ini siap dengan ikan kerapu bakar. Nyam, nyam, nyam. Alhamdulillah rezeki kurniaan Allah.



Ketika berkemas membersihkan tempat makan, kami mendapat perkhabaran bahawa rombongan tetamu akan bertolak balik ke KK malam itu juga atas sebab utama takut tidak sempat sampai ke lapangan terbang pada masa yang telah ditetapkan keesokannya. Tukar plan. Sedih. Bila ikatan ukhuwah telah berputik. Pasrah lagi. Slot esok, kuliah subuh, majlis penutupan dan penyerahan sumbangan diamanahkan sepenuhnya kepada kami. 

Sebelum mereka pergi, kami mengambil kesempatan seketika memperkenalkan KRU secara lebih terperinci. Melalui diskusi ringkas itu, akhirnya termeterailah solusi akan berganding bahu memikul tugas sebagai khalifah di muka bumi. Terima kasih atas dana yang disumbang untuk KRU Tuaran. Sunyi malam pekat menyaksikan keberangkatan balik rombongan tetamu. Perasaan sayu menyelubungi suasana. Hingga ketemu lagi, insya-Allah.


Keesokkan paginya, kami menyelesaikan segala tugasan yang diamanahkan. Perasaan berbuar-baur.  Setelah semuanya selesai, sekali lagi liqa' pagi itu menyaksikan ada yang  membawa penyakit berjangkit,  tangisan syahdu. Sahabat-sahabat yang bakal pergi jauh meninggalkan KRU Tuaran usah bersedih. 






Perasaan sayu sekali lagi menyapa tika kaki melangkah menuruni anak tangga jeti meninggalkan Kampung Sambah. 


Terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung menjayakan program ini.