Footer Right Content

Monday, January 5, 2009

Selamat Kembali Ke Sekolah

Setelah lama bercuti, sekali lagi adik-adik akan kembali ke sekolah. Kekuatan harus dikumpulkan, nafsu harus dilawan. Kerana tentu sekali pelbagai cabaran akan mendatang, sesuai dengan fitrahnya hendak melakukan sesuatu yang baik dan diredhai Allah. Kelas berterusan ditambah dengan kelas tuisyen, kerja rumah akan mula menggunung, aktiviti kokurikulum mencuri masa rehat dan kawan-kawan mengajak melakukan projek di luar kotak. Maka diri akan mula terhimpit-malas, resah, bosan, jemu, fed-up. Apapun, perjuangan mesti diteruskan, niat perlu dibetulkan, matlamat diperjelaskan, kerana di hujung jalan, akan wujud sebuah kemanisan!

Ya Allah, aku ke sekolah sehari-harian ini untuk menuntut ilmuMu, agar suatu hari nanti aku dapat kembali menyumbang kepada agamaMu, berbakti kepada masyarakatku, dan menyuburkan benih-benihkan taqwa di minda dan hati mereka. Nescaya kau mudahkanlah perjalananku, kau kuatkan azamku, kau peliharalah hatiku, agar dihujungnya, akan ada kemanisan dan kejayaan berkat kesungguhan dan pengorbanan pada hari ini.

Suka kami mengambil peluang ini untuk berkongsi sebuah cerita dengan adik-adik;

Pada zaman dahulu ada seorang raja. Di negara jajahan takluk raja tersebut terdapat sebatang sungai yang dipenuhi buaya. Suatu hari, raja mengadakan pertandingan. Siapa yang dapat berenang merentas sungai tersebut akan mendapat salah satu daripada hadiah berikut – Pertama, mendapat wang sebanyak 1 juta ringgit. Yang kedua, dapat berkahwin dengan puteri bongsu baginda, atau yang ketiga, dapat memerintah keseluruhan negara tersebut.

Seluruh rakyat pun berkumpul, tetapi tidak ada seorang pun yang berani berenang di dalam sungai tersebut, lebih-lebih lagi setelah raja tersebut melakukan ‘demo’ dengan meletakkan seekor ayam ke dalam sungai tersebut, dan tidak sampai beberapa saat, hanya bulu-bulu yang berterbangan, sedangkan ayam habis dibaham buaya-buaya yang ganas. Tunggu punya tunggu, tiba-tiba dengan tidak semena-mena air berkocak kuat dan seorang lelaki dilihat berenang dengan laju ke seberang sana sungai sambil buaya-buaya mengejar beliau tanpa berhasil. Sampai ke tebing, raja menemui lelaki tersebut yang sedang tercungap-cungap. “Tahniah, tahniah,” kata raja. “Beta kagum dengan keberanian kamu. Apa hadiah yang kau mahukan dari beta? Hadiah wang 1 juta?” “Ti..ti..tidak”, lelaki tersebut menjawab dalam keadaan masih tercungap-cungap. “ Jadi kau mahu puteri beta?” “Tidak..Ti..Tidak,” jawab lelaki itu lagi. Raja mula kehairanan. “Jadi kau mahu memerintah Negara beta la ni?” “Tidak!” Lelaki tersebut menjawab dengan lebih tegas. Beta dan menteri-menteri berpandangan sesama sendiri sambil menggelengkan kepala. “Jadi apa yang kau mahukan?” raja bertanya sedikit marah. “Aku cuma mahu tahu, siapa yang menolak aku ke dalam sungai!” lelaki tersebut menjawab!

Begitulah hakikatnya, kita selalu perlu ditolak untuk berdepan dengan cabaran, dan memburu kejayaan. Agak-agaknya, apakah yang menolak adik-adik untuk bersungguh-sungguh belajar dan memburu kecemerlangan di sekolah?

Yang menolak adik-adik, ialah pengetahuan bahawa adik-adik perlu membalas jasa ibubapa, guru-guru dan rakan-rakan yang telah berhempas-pulas bekerja dan berusaha menjadikan adik-adik orang berguna!

Yang menolak adik-adik, ialah pengetahuan bahawa adik-adik perlu pulang ke pangkuan masyarakat untuk membangunkan mereka dan mengeluarkan mereka dari kepompong kemiskinan harta dan jiwa, serta kegelapan beragama!

Yang menolak adik-adik, ialah pengetahuan bahawa adik-adik perlu suatu hari nanti, bersama dengan kami membentuk generasi baru yang akan mengembalikan kegemilangan Islam di mata dunia!

Selamat Kembali Ke Sekolah..(",)

2 comments:

SyaZa SyaFeeQaH said...

Assalamualaikum...
Cerita yg dikongsikan dlm artikel mmg bgus & betul!
semakin b'semangat adik nak pi sekolah..he3...
doakn adik b'jaya di dunia dan di akhirat dlm semua p'kara...amin...

nurilhakim said...

Salam adik Syaza,
Alhamdulillah kalau cerita tu sdikit sbnyk dpt tingkatkan semangat utk kembali ke sekolah..
Jangan takut dgn buaya. Allah dan sahabat2,sentiasa bersama!! :)