Footer Right Content

Thursday, December 24, 2009

Aktiviti Bulanan KRU Kota Belud

Assalamua'laikum WBT
Salam Wasilah Ukhuwah Fillah Buat Para Pengunjung

Untuk makluman, Kelab Remaja Ukhuwah (KRU) kawasan Kota Belud akan mengadakan aktiviti bulanan bertemakan ukhuwah Disember ini yang dinamakan Program Perkampungan KRU. Butirannya seperti yang berikut;

Tarikh: 25-26 Disember 2009
Masa: 2 petang(Jumaat)-12 tengahari(Sabtu)
Tempat: Kampung Pantai Emas, Kota Belud

Pelbagai bentuk pengisian berbentuk jelajah dakwah, forum bersama orang kampung, Qiam dan rehlah di tepi pantai menanti anda!

Sebarang pertanyaan dan penyertaan bolehlah menghubungi 0145719658

Sahabat-sahabat yang dekat dan jauh dialu-alukan untuk hadir bersama :)

Wednesday, December 23, 2009

Islamic Summer Camp Kali Ke-3

Bangkitlah mujahid bangkitlah
Rapatkan barisan rapatkan
Ayunkanlah langkah perjuangan
Mati syahid atau hidup mulia

Siapkan dirimu siapkan
Gentarkan musuhmu gentarkan
Takkan pernah usai pertarungan
Hingga ajal kan menjelang

Enyahkan rasa takut dan gentar
Walau raga kan meregang nyawa
Kerna Allah tlah janjikan surga
Untukmu mujahid setia

Alhamdulillah~ Pada 18-20 Disember 2009, sebuah lagi program tahunan penerapan dakwah kepada golongan remaja yang dianjurkan Persatuan Siswazah Sabah telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Program Islamic Summer Camp 2009 (ISC'09) berlangsung selama 3 hari 2 malam bertempat di Pusat Sejadi, Hutan Lipur Kawang, Papar. Program dihidupkan oleh bakal kader-kader dakwah yang terdiri daripada 70 orang pelajar sekolah menengah dari beberapa buah sekolah di sekitar Kota Kinabalu, Tuaran, Sipitang, Papar, Pitas dan Ranau.

Menyoroti hari-hari program, pelbagai aktiviti yang dirancang telah dilaksanakan. Antaranya;

Slot Muhasabah

Kuliah Dasar

Latihan Dakwah

Perkongsian Hati Ke Hati Bersama Fasi

Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta yang berjaya menghadirkan diri dan hati sehingga ke akhir program. Semoga Allah memberkati ilmu dan segala bentuk pelajaran yang diperolehi sepanjang program yang direncanakan. Ambillah seberapa banyak perkara yang elok itu untuk meningkatkan kualiti diri di hadapan Allah. Sebarang kekurangan dan kesilapan yang berlaku amat dikesali dan mohon dimaafi.

Buat para pelaksana secara langsung mahupun tidak langsung, syabas dan tahniah diucapkan atas kerjasama dan komitmen yang diberikan. Hanya Allah yang selayaknya membalas jasa dan usaha kalian menjayakan ISC untuk kali ke-3 ini.


Semoga hati-hati yang dipilih terus istiqomah dalam melakukan segala amal kebaikan kerana Allah SWT. Teruskan perjuangan wahai mujahid setia sehingga khilafah Islam tertegak kembali ;)

Thursday, December 17, 2009

Persepsi Positif Memahami Musibah

Hidup kita dimuka bumi ini sering dilanda ujian, dugaan dan musibah. Selalu kita dengar nasihat dari teman-teman dan sesiapa jua yang menggalakkan kita bersabar, seperti ungkapan ini:

"Bersabarlah, ini ujian dari Allah, ada hikmah disebaliknya....."

Bagaimana biasanya penerimaan kita tatkala mendengar ungkapan ini? Apa reaksi ataupun respon dari diri kita sendiri apabila kita ditimpa musibah dan ujian? Rata-rata masyarakat sekarang, sama ada yang memberikan nasihat, atau yang menerima nasihat, tidak memahami konsep ungkapan tersebut dari persepsi yang positif. Malah ada yang memandang negatif atau pun meluat, apabila dinasihati supaya bersabar dengan musibah yang melanda. Secara tak langsung, kita sebenarnya menyalahkan takdir ataupun lebih tepat lagi telah bersangka buruk dengan Allah.

Hikmah apa? Apa hikmahnya? Nak bersabar macamana lagi. Dah tak ada kesabaran lagi dalam diri aku ini!! Kenapa aku ditakdirkan untuk melalui perkara ini. Aku tak sanggup untuk menderita lagi......dan seterusnya.

Firman Allah dalam Hadis Qudsi:
"Barang siapa yang bersangka buruk padaKu, nescaya Aku akan mengikuti (Memenifestasikan) sangkaan-sangkaan buruk hambaKu itu."

Mengapakah Allah amat melarang kita dari bersangka buruk (negative thinking) padaNya dalam apa keadaan sekalipun? Walaupun sedang ditimpa musibah?


APAKAH ITU MUSIBAH
Kita telah mempelajari bahawa fikiran negatif akan menarik frekuensi tenaga negative kepada kita, dengan bentuk thoughts yang kita pancarkan tadi. Firman Allah dalam Hadis Qudsi tadi telah membuktikan Hukum ini. Tetapi bagaimanakah untuk tetap bersangka baik walaupun kita sedang mengalami satu situasi yang kita rasakan amat sulit untuk kita bersabar dan bersangka baik?

Disini, amat penting untuk kita memahami dari persepsi positif tentang sesuatu musibah yang melanda. Kita ambil contoh:
Senario pertama
Seorang lelaki yang mengalami sakit pada dadanya. Dia kemudiannya datang berjumpa doktor untuk meminta rawatan dan pertolongan. Setelah diperiksa, maka dia disahkan mengalami kerosakan pada jantung dan perlu dibedah. Ketika dibedah, doktor akan melakukan perkara-perkara yang kita nampak seperti kejam contohnya, membelah dada pesakit, darah yang memercik keluar, dan segalanya yang amat mengerikan. Tetapi mengapa kita membenarkan perkara ini berlaku tanpa ada rasa marah pada doktor itu? Mengapa kita boleh bersabar menunggu hingga pembedahan selesai, sehingga luka-luka tersebut sembuh, dan akhirnya jantung pesakit itu berjaya diubati, malah pesakit itu berterima kasih pada doktor tersebut. Ini adalah kerana kita faham, bahawa doktor tersebut bukan berlaku kejam atau sengaja hendak menyeksa pesakit tersebut. Sebaliknya doktor itu bertujuan untuk merawat dan menolong pesakit terbabit, tetapi terpaksa melalui proses pembedahan yang menyakitkan.
Senario kedua
Kereta anda telah cukup tempoh untuk digantikan timing belt. Anda ke bengkel kereta untuk menggantikan timing belt yang baru. Mekanik akan membuka dan membawa turun ejin kereta anda dan ketika ini kereta anda yang amat anda sayangi kelihatan tak ubah seperti humpunan besi buruk yang berselerak, ketika mekanik sedang melakukan proses memasang timing belt itu. Tetapi anda tidak merasa marah atau runsing kerana anda tahu, selepas segalanya selesai, kereta anda akan kembali seperti keadaan asal. Anda juga sanggup menunggu kereta anda disiapkan dengan sabar. Semua ini adalah kerana anda memahami apa yang berlaku. Cuba kita renungkan sejenak, dalam kehidupan kita , kebanyakan perkara atau benda yang ingin kita menambahbaik (upgrade) atau ingin dibaiki, pasti akan melalui proses yang membabitkan keadaan tidak selesa/berselerak/bersepah atau buruk, ketika proses upgrade tadi dijalankan. Tak kira apa jua senarionya, seperti membetulkan sistem paip didalam rumah, membaikpulih jam tangan, rumah, komputer dan sebagainya. Tetapi apa yang kita tahu, sebaik sahaja proses membaikpulih ini selesai, segalanya akan menjadi lebih baik dan lebih produktif. Seperti komputer yang telah diupgradekan, ditukar rem dan lain-lain, ianya akan berfungsi lebih laju dan efisien.

Maka begitu jugalah dengan sesuatu musibah yang melanda diri kita. Bukankan kita semua selalu mendengar dan bersetuju dengan ungkapan ini:

"Yang baik itu dari Allah, yang khilaf itu dari kelemahan manusia sendiri...."

Benar! Allah hanya memberikan yang terbaik sahaja pada semua hamba-hambaNya. Maka cubalah kita ubah pandangan kita terhadap apa jua musibah yang melanda diri kita kepada 'proses pembaikan/perawatan' dari Allah supaya diri manusia itu bersedia untuk menerima kebaikan yang ingin diberikan Allah pada manusia itu, kerana, mungkin sekiranya tanpa melalui suatu proses pembaikan/perawatan hamba tersebut tidak dapat/tidak bersedia untuk menerima pemberian yang ingin diberikan kepadanya..
Maka kerana itulah, kita selalu mendengar ungkapan: Apabila Allah ingin memberikan kebaikan pada hamba-hambanya, Dia akan mulakan dengan musibah. Maka sekarang kita lebih nampak dan faham apakah sebenarnya musibah itu, dan faham apakah yang dimaksudkan dengan 'ada hikmah disebaliknya'. Sebenarnya, apabila dilanda musibah, kita perlu memahami/ beranggapan bahawa apa yang kita doakan telah dimakbulkan Allah maka kerana itulah, proses pembaikan/rawatan ini melanda kita, kerana sesuatu yang kita doakan/hajatkan selama ini telah dimakbulkan. Bukan sahaja dalam kes penyakit, musibah boleh juga dalam bentuk kegawatan ekonomi, masalah rumahtangga, masalah anak-anak, kerjaya dan sebagainya. Selidikilah dan renung-renungkanlah, apakah yang kita pernah doakan dan apakah sebenarnya sedang kita lalui dalam apa jua masalah hidup yang melanda kita.

Seperti diterangkan pula dalam hadits sahabat Abu Hurairoh bahwa Nabi Saw bersabda,
“Tiada apapun yang menimpa seorang Mukmin berupa bencana dan menderita kesusahan, kecuali semua itu menjadi sebab untuk menghilangkan dosa dosanya.” (Bukhari dan Muslim).

Sahabat Ibnu Mas’ud juga meriwayatkan dari hadits lain, ia menyebut, "Bahwasanya tiada seorang muslim pun yang tertimpa kerusakan dan penyakit, atau bencana yang lebih ringan lagi, kecuali Allah Ta’ala akan menggugurkan dosa dosanya, bagaikan gugurnya daun dari dahan pohon.”

Ummul Mukminin Sayidatina Aisyah ra. meriwayatkan pula sabda junjungan Rosulullah Saw,
“Barangsiapa diuji dengan beberapa kesulitan, dan ia dapat mengatasi kesulitan itu dengan ketabahan dan menerimanya dengan ikhlas, tertulis baginya di sisi Allah dengan darjat yang mulia dan dihapus dosa dosanya.”

Seorang muslim yang soleh tidak boleh mengira dan berprasangka bahwa Allah tidak memperhatikan lagi dirinya kerana perkiraan seperti ini adalah pandangan yang sempit dan dangkal. Seorang muslim memandang Allah tidak semata mata dari segi pemberian Allah yang jelas dan dirasakan dengan alam jasmani, akan tetapi ia harus melihat pemberian Allah dari sisi yang lain yang tidak dapat dilihat dan dinyatakan dengan mata kepala.Seorang hamba hendaklah dapat merasakan pemberian Allah sebagai anugerah, maka ia pun harus dapat merasakan percobaan dari Allah itu juga suatu anugerah kasih sayang dari Allah Swt. Hikmahnya seorang hamba dalam keadaan kesusahan, atau sedang tertimpa bencana, ia akan bertambah dekat kepada Allah Swt. Dengan dekatnya si hamba kepada-Nya, maka akan berlimpahlah kasih sayang kepada si hamba. Itulah anugerah yang tak ada taranya. Orang yang keimanannya tebal, akan menerima setiap bencana, selain sebagai ujian atas keimanan, termasuk Allah menunjukkan kasih sayang dan rahmat-Nya kepada si hamba, sebagai bukti Allah adalah Robbun (pengasuh, pendidik) bagi alam semesta dan seluruh makhluk-Nya. Nabi Muhammad Saw dalam hal ini bersabda, “Allah Ta’ala menguji seorang hamba dengan bencana. Apabila si hamba sabar menerima, maka ia termasuk pilihan. Apabila ia ridho menerima, maka ia termasuk orang istimewa.”
Antara tindakan yang boleh kita lakukan setiap kali merasakan kita dilanda musibah.

1. Kita diajarkan untuk mengucapkan kalimah: Innalillahiwainnailaihirrojiuun ...dari Allah ia datang, kepada Allah ia kembali....Ucapkanlah, dan berdoalah semoga musibah itu sebentar sahaja dan berdoa memohon kekuatan dalam menghadapinya. Ini diajarkan sendiri oleh Allah kepada kita. Mengapa kita tidak mahu mengamalkannya? Sama seperti amalan membaca Bismillah sebelum makan.

2. Rasulullah S.A.W bersabda : Berselawatlah padaku dipermulaan musibah itu adalah sangat baik sekira kamu mengetahui. Rasulullah menyarankan supaya bersalawat padanya ketika saat permulaan mengalami apajua musibah/ masalah. Berselawat keatas Nabi adalah bermaksud mendoakan kesejahteraan Nabi seperti: Allahumma solli ala saidina muhammadinnabiyyil umiyyi. Mengapakah mendoakan kesejahteraan Nabi, sedangkan kita yang dilanda masalah? Ramai yang tidak menyedari akan khasiat daripada mendoakan Nabi S.A.W. Sabda Nabi S.A.W : Sesiapa yang bersalawat kepada ku (mendoakan kesejahteraanku) sekali (1), maka Allah akan memberikan kesejahteraaan kepada sesiapa yang bersalawat tadi sebanyak sepuluh (10) kali. Lihatlah betapa besarnya fadhilat bersalawat ini. Nabi S.A.W adalah kekasih Allah. diturunkan kebumi ini sebagai rahmatallilalamin (rahmat buat sekalian alam). Maka mendoakan untuk orang sangat dikasihi Allah, Allah akan membalas sepuluh kali ganda pada orang berdoa tadi.Maka selalulah kita bersalawat dengan ikhlas, tak kira diwaktu senang atau pun susah. Tak perlu tunggu hingga menerima musibah untuk bersalawat.

3. Bersangka baik dengan Allah (HusnulDzon/Positive Thinking) kepada Allah. Kenalilah Allah yang kita sembah itu dengan persepsi yang betul dan benar dengan mempelajari dan menghayati sifat-sifatNya yang telah diajarkan kepada manusia. Juga dari 99 nama Allah, kita dapat belajar sifat Allah. Sekiranya kita melihat seorang gadis yang cantik rupawan, acapkali kita terpanggil untuk melihat gadis itu sekali lagi, kerana apa? kita terpegun dengan kejelitaan wajah gadis itu. Maka cuba kita fahami bahawa Yang Menciptakan gadis tersebut tentulah lebih Indah, lebih cantik, sepertimana yang diriwayat bahawa didalam syurga kelak, apabila Allah membuka hijabNya kepada manusia, para ahli syurga akan terpegun dan ternganga melihat Kecantikan/Keindahan Allah hingga tidak berkata apa-apa selama 40 tahun.

Ini baru sifatNya yang Maha Indah dan Maha Sempurna. Bagaimana dengan sifat-sifatNya yang lain seperti Maha Pengasih, Maha Penyayang? Allah memberitahu kita, Dia amat menyayangi hamba-hambaNya melebihi seorang ibu yang sedang menyusukan anaknya. Bolehkah kita fahami betapa besarnya kasih sayang yang sebegini rupa? Maka wajarkah kita mengatakan Allah itu tidak adil? Pilih kasih? Kejam dan sebagainya yang hanya merupakan sangkaan buruk yang tidak benar?

Ubahlah persepsi kita pada Allah mulai sekarang, semoga Allah memberikan hidayah dan rahmatNya pada kita semua, semoga kita semua sentiasa dilindungiNya dari persepsi yang salah dan memudaratkan diri kita sendiri.

Firman Allah dalam hadis Qudsi:
"Wahai hamba-hambaKu! sekiranya hamba yang mula-mula sekali diciptakan sehingga hamba yang terakhir sekali dicipta dari kalangan manusia dan jin merupakan hamba-hamba yang bertaqwa semuanya, maka tidaklah dapat menambahkan sedikit pun dari Kekuasaan dan KebesaranKu. Sekiranya hamba yang pertama dicipta sehingga hamba yang terakhir dicipta dari kalangan manusia dan jin merupakan hamba-hamba yang paling jahat, yang demikian tidaklah dapat mengurangkan sedikit pun Kekuasaan dan KebesaranKu."

Allah tidak memerlukan apa-apa pun dari kita, tetapi kitalah yang memerlukan dan berhajat kepada Allah. Oleh itu, peliharalah hubungan kita dengan Allah dan salah satu caranya ialah dengan bersangka yang benar tentang Allah, iaitu bersangka baik (Berfikir Positif) kepada Allah, dengan ikhlas. Kerana faedahnya adalah untuk kebaikan manusia sendiri, Allah tidak memerlukan apa-apa pun dari kita. Manusia sebagai hamba Allah dalam menjalankan hidupnya di dunia ini hendaklah jauh dari prasangka jelek kepada Allah, agar jiwanya tidak risau dan tertimpa penyakit yang dapat menegangkan saraf. Mari berprasangka baik (Husnuzzon ) kepada Maha Pencipta. Kita harus memahami dengan penuh keyakinan bahwa Allah Ta’ala Maha Adil dan Maha Pemelihara. Allah telah memberikan rahmat-Nya kepada manusia sesuai dengan rencana Allah.

Wallahua'lam.

Monday, December 7, 2009

Ghazwul Fikr

Seorang guru wanita sedang bersemangat mengajarkan sesuatu kepada murid-muridnya. Ia duduk menghadap murid-muridnya. Di tangan kirinya ada kapur, di tangan kanannya ada pemadam. Guru itu berkata, "Saya ada satu permainan... Caranya begini, ditangan kiri saya ada kapur, di tangan kanan ada pemadam. Jika saya angkat kapur ini, maka berserulah "Kapur!", jika saya angkat pemadam ini, maka katalah "Pemadam!"Murid muridnya pun mengerti dan mengikuti. Guru berganti-gantian mengangkat antara kanan dan kiri tangannya, semakin lama semakin cepat. Beberapa saat kemudian guru kembali berkata, "Baik sekarang perhatikan. Jika saya angkat kapur, maka sebutlah "Pemadam!", jika saya angkat pemadam, maka katakanlah "Kapur!". Dan diulangkan seperti tadi, tentu saja murid-murid tadi keliru dan kekok, dan sangat sukar untuk mengubahnya. Namun lambat laun, mereka sudah biasa dan tidak lagi kekok.

Selang beberapa saat, permainan berhenti. Sang guru tersenyum kepada murid- muridnya. "Murid-murid, begitulah kita umat Islam. Mulanya yang haq itu haq, yang bathil itu bathil. Kita begitu jelas membezakannya. Namun kemudian, musuh musuh kita memaksakan kepada kita dengan perbagai cara, untuk menukarkan sesuatu, dari yang haq menjadi bathil, dan sebaliknya. Pertama-tama mungkin akan sukar bagi kita menerima hal tersebut, tapi kerana terus disosialisasikan dengan cara-cara menarik oleh mereka, akhirnya lambat laun kamu akan terbiasa dengan hal itu. Dan anda mulai dapat mengikutinya. Musuh- musuh kamu tidak pernah berhenti membalik dan menukar nilai dan ketika."

"Keluar berduaan, berkasih-kasihan tidak lagi sesuatu yang pelik, Zina tidak lagi jadi persoalan, pakaian seksi menjadi hal yang lumrah, tanpa rasa malu, sex sebelum nikah menjadi suatu kebiasaan dan trend, hiburan yang asyik dan panjang sehingga melupakan yang wajib adalah biasa, materialistik kini menjadi suatu gaya hidup dan lain lain." "Semuanya sudah terbalik. Dan tanpa disedari, anda sedikit demi sedikit menerimanya tanpa rasa ia satu kesalahan dan kemaksiatan. Paham?" tanya Guru kepada murid-muridnya. "Paham cikgu...

"Baik permainan kedua..." begitu Guru melanjutkan."Cikgu ada Qur'an,cikgu akan letakkannya di tengah karpet. Sekarang anda berdiri diluar karpet. Permainannya adalah, bagaimana caranya mengambil Qur'an yang ada ditengah tanpa memijak karpet?" Murid-muridnya berpikir . Ada yang mencuba alternatif dengan tongkat,dan lain-lain. Akhirnya Guru memberikan jalan keluar, digulungnya karpet, dan ia ambil Qur'an. Ia memenuhi syarat, tidak memijak karpet."Murid- murid, begitulah ummat Islam dan musuh-musuhnya... Musuh-musuh Islam tidak akan memijak-mijak anda dengan terang- terang. Kerana tentu anda akan menolaknya mentah mentah. Orang biasapun tak akan rela kalau Islam dihina dihadapan mereka. Tapi mereka akan menggulung anda perlahan-lahan dari pinggir, sehingga anda tidak sedar.

"Jika seseorang ingin membuat rumah yang kuat, maka dibina tapak yang kuat. Begitulah Islam, jika ingin kuat, maka bangunlah aqidah yang kuat. Sebaliknya, jika ingin membongkar rumah, tentu susah kalau dimulai dgn tapaknya dulu, tentu saja hiasan- hiasan dinding akan dikeluarkan dulu, kerusi dipindahkan dulu, almari dibuang dulu satu persatu, baru rumah dihancurkan. .."

"Begitulah musuh-musuh Islam menghancurkan kita. Ia tidak akan menghentam terang-terangan, tapi ia akan perlahan-lahan meletihkan anda. Mulai dari perangai anda, cara hidup, pakaian dan lain-lain, sehingga meskipun anda muslim, tapi anda telah meninggalkan ajaran Islam dan mengikuti cara yang mereka. Dan itulah yang mereka inginkan."

Ini semua adalah fenomena Ghazwul Fikri (Perang Pemikiran). Dan inilah yang dijalankan oleh musuh musuh kita.

Saturday, December 5, 2009

Wujud Cinta Kerana Allah

"Tidaklah dua orang saling mencintai kerana Allah, melainkan orang yang paling dicintai Allah, diantara keduanya ialah orang yang paling besar cintanya kepada saudaranya." HR. Ibnu Hibban dan Al-Hakim

Rasa cinta adalah fitrah manusia. Kerananya, percintaan adalah rentangan waktu kehidupan manusia yang akan mereka lalui dengan keindahan dan haru biru. Cinta yang tulus, insyaAllah akan menyelamatkan manusia dari api neraka yang maha dahsyat panasnya.

Cinta tulus, terbesar dan hakiki adalah cinta kepada Allah. Bukhari dan Muslim meriwayatkan sebuah sabda Rasulullah Saw. melalui Anas ra.,
"Ada tiga perkara yang barangsiapa dalam dirinya terdapat ketiga perkara itu, dia pasti merasakan manisnya iman, iaitu Allah dan RasulNya lebih dicintainya daripada yang lain; mencintai seseorang tiada lain hanya kerana Allah; dan tidak ingin kembali kepada kekafiran setelah diselamatkan Allah sebagaimana dia tidak ingin kalau dicampakkan ke dalam api."

Sesungguhnya persaudaraan kita merupakan buah dari ketinggian akhlak manakala tafarruq (perselisihan) kita merupakan akibat dari rendahnya akhlak. Akhlak yang bagus membuahkan rasa saling cinta, saling sayang, dan saling memberikan manfaat. Kerana itu, cinta melahirkan ukhuwah. Ukhuwah yang telah digambarkan secara mengharukan oleh Bilal, Amar dan Zaid, atau Umar, Ali dan Utsman, yang bersanding dan bercinta kerana Allah. Kasih sayang diantara mereka merupakan gambaran janin ukhuwah yang dikandung dalam perut iman, dan terlahir dari ibu yang bernama iman.

Ukhuwah bererti bersatunya hati-hati yang ruhnya terikat dengan ikatan akidah. Kerananya, persaudaraan adalah bentuk keimanan yang terikat dengan akidah yang amat kuat. Sementara perpecahannya adalah gambaran kekufuran, yang menempatkan keimanan dan kasih sayang di tempat sampah. Oleh kerana itu, manusia yang benar fikrahnya adalah manusia yang melihat saudaranya lebih utama dibanding dirinya sendiri. Jika perkara ini terjadi, ukhuwah akan terasa sangat indah, nikmat dan manis.

Persaudaraan dan saling mencintai kerana Allah adalah salah satu ibadah yang paling utama dalam agama kita. Siapapun yang berupaya mewujudkannya, tiada perkara lain baginya kecuali syurga yang maha indah.

Rasulullah SAW bersabda,
"Barangsiapa bersaudara dengan seseorang kerana Allah, maka Allah mengangkatnya satu darjat di syurga, yang tidak didapatnya dengan sesuatu amalan lainnya".

Ibnu Jarir pun meriwayatkan sabda Rasulullah Saw, dari Ibnu 'Abbas ra, berkata,
"Barangsiapa mencintai seseorang kerana Allah, membenci seseorang kerana Allah, membela seseorang kerana Kecintaan Sesama Saudara Islam Kerana Allah, dan memusuhi seseorang kerana Allah, maka sesungguhnya kecintaan dan pertolongan dari Allah boleh diperoleh dengan perkara Seorang hamba tidak akan menemukan nikmatnya iman, sekalipun banyak sholat dan shaum, sehingga dia bersikap demikian. Persahabatan diantara manusia pada umumnya didasarkan atas kepentingan dunia, namun perkara itu tidak berguna sedikitpun bagi mereka."

Cinta seorang Mukmin adalah kekuatan. Ia bagaikan pelekat yang mengikat batu bata individu Muslim dalam sebuah bangunan yang kukuh dan tidak mudah roboh. Allah Swt Berfirman;
"Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara." (Q.S Al-Hujurat : 10)

Sementara itu, Rasulullah Saw bersabda,
"Mukmin yang satu terhadap Mukmin yang lain itu bagaikan bangunan yang mengikat antara sebagian dengan sebagian yang lainnya." HR. Muttafaqun 'Alaih

Persaudaraan Islam bukanlah suatu permasalahan sampingan dalam Islam, tetapi ia menjadi salah satu prinsip dasar yang menyertai syahadah (persaksian) terhadap keesaan Allah dan kesaksian terhadap kerasulan Muhammad SAW. Persaudaraan merupakan buah dan konsekuensi keimanan yang amat sangat indah. Kerana itu, kita harus sama-sama yakin bahawa keindahanNya qadim. KeagunganNya tinggi. Kekuasaan dan penguasaanNya Maha Dahsyat. KeindahanNya berpadu dengan kemuliaan. KeagunganNya berpadu dengan keluhuran. KebesaranNya tidak pernah berakhir. KeindahanNya pesona hati. KeagunganNya meningkatkan cinta. Sungguh, tiada cinta yang hakiki kecuali cintaNya kepada kita sebagai makhlukNya, dan cinta kita kepadaNya. Adakah kita merasakan semuanya? Wallahualam.

Sesungguhnya, seorang muslim itu apabila berjalan dijalan dakwah, dia tidak berjalan dengan hatinya sahaja, bahkan dibawa bersama hati saudaranya. Justeru, setiap pahala yang didapati sepanjang perjalanannya pasti akan terbias untuk saudara seperjuangannya
-Mustafa Masyhur-

Monday, November 23, 2009

Hadiah



Hadiah ialah sesuatu yang menjanjikan kemanisan dan keseronokkan. Tambahan pula jika ia datang dari orang yang kita sayang. Ia akan menjadi lebih bermakna jika kita tidak pernah memilikinya dan sangat mendambakan hadiah itu. Tapi, jika hadiah yang kita perolehi itu ialah sesuatu yang kita pernah atau telah miliki tentu sahaja kita tak akan menghargainya, atau jika kita menghargainya sekali pun, mungkin tidak lama.

Kemanisan mendapat sesuatu yang memang kita dambakan ialah satu kemanisan yang akan menjanjikan satu rasa kebahagiaan dan keseronokkan yang tak mungkin dapat digambarkan. Dan jika hadiah itu rosak atau hilang, kita akan merasakan satu kehilangan yang teramat sangat.
Islam yang terpahat di dalam dada kita merupakan hadiah yag paling berharga dan sangat di dambakan oleh sesiapa sahaja walaupun mungkin kita dan ramai lagi diluar sana yang tidak menyedarinya.
Bagi kita yang sudah dilahirkan sebagai muslim, mungkin ada yang tidak memahami betapa manisnya mengecap nikmat Islam, tapi bagi mereka yang bukan Muslim dan kemudiannya mendapat hidayah untuk memeluk Islam,nikmat Islam itu seumpama setitis air yang sangat didambakan setelah lama kehausan, sebagai seberkas cahaya setelah lama kegelapan.
Ya, kita faham Islam itu agama yang satu-satunya diredhai, tetapi berapa ramai muslim yang hanya pada namanya? Berapa ramai pula yang tidak memikul tugas dan menjadi seperti yang disyahadahkan? Berapa ramai pula saudara baru yang memiliki kefahaman dan pengetahuan mengenai Islam lebih baik dari kita?

Ini kerana mereka faham dan tahu betapa manisnya hadiah dari TUHAN, betapa manisnya menjadi manusia yang terpilih untuk mendapat rahmah dan hidayah-NYA. Jadi mereka menjaga hadiah itu lebih baik dan ingin pula berkongsi kemanisan itu dengan mereka yang sudah dan belum pernah atau dapat merasakan kemanisan yang mereka rasai.
Manusia itu pelupa sifatnya. Jadi jika mereka sudah mendapat atau diberi sesuatu itu sejak lahir lagi, mungkin mereka tidak faham nikmatnya hadiah itu. Jadi tinggallah mereka terus menjadi orang-orang yang pelupa.
Janganlah kita menjadi orang yang pelupa,kerana sekali kita terlupa dan biasakan diri untuk terus terlupa, takut-takut kita akan terus tidak pernah ingat betapa indahnya dan manisnya 'hadiah' yang kita perolehnya dengan mudah berbanding mereka yang terpaksa membelinya dengan darah,keringat dan air mata.

Friday, November 20, 2009

Kerana Ukhwah Itu Indah




Menyedari dirinya sudah terlambat untuk ke kelas Physiology, Qistina berlari-lari anak tanpa menghiraukan pelajar-pelajar lain yang sedang memerhatikan kegopohannya itu. “Tak kisahlah apa orang nak kata yang penting aku cepat sampai ke kelas Profesor Azlan. Kalau lambat setakat lima minit takpe lagi sekurang-kurangnya aku tak dihalau keluar kelas kerana lambat.” Qistina memujuk hati.


“Hai Qistina. Awal kamu masuk kelas saya hari ini ye?.” Seperti yang dijangka Qistina, Profesor Azlan pasti menegurnya. “Sorry Prof.” Qistina melontarkan senyuman kelat sambil mencari-cari tempat kosong. "Hey Qis! Apasal kau lambat hari ini? Tak pernah-pernah kau lambat. Pelik juga aku.” Gadis tinggi lampai dan berkulit kuning langsat menyapa Qistina yang masih sibuk merapikan nota-nota kuliah tadi.



“Eh Irah, sekejap ya. Nanti saya jelaskan. Jumpa kat kafĂ© ya Irah?” Irah sekadar mengangguk tanda paham dan sebentar kemudian berlalu meninggalkan Qistina yang masih lagi sibuk menyusun nota-notanya. Qistina dan Zahirah merupakan sahabat baik sejak di sekolah menengah lagi. Tidak mereka sangkakan jodoh mereka berpanjangan sehingga dipertemukan sekali lagi untuk berjuang bersama mengejar cita-cita yang sama juga di tempat yang sama.


Keakraban mereka kadang kala dilihat oleh teman-teman sekuliah sebagai sesuatu yang pelik. “Bagaimana awak boleh berkawan dengan Irah tu Qis? Dia kasar dan kata-katanya juga kadang-kadang boleh buat orang terasa. Tak macam awak. Bagai langit dengan bumi!”


Qistina hanya tersenyum apabila ada antara teman-temannya yang menanyakan soalan seperti itu. Baginya, orang lain tidak perlu mengetahui apa yang dia rasa dan lalui tapi cukuplah Allah sahaja yang mengetahui betapa ikhlasnya dia meneruskan sebuah ikatan persahabatan tersebut. Siapapun Irah dan bagaimana sekalipun pandangan orang lain terhadap sahabat baiknya itu, dia tetap akan berdiri teguh untuk mempertahankan erti sebuah persahabatan yang telah lama dibina. Qistina amat menyayangi Irah yang sudah dianggap seperti adiknya sendiri.


“Assalamualaikum Irah”. Sapa Qistina pada Zahirah yang sedang asyik sekali meneguk ‘orange juice’ yang pastinya melegakan di saat cuaca panas terik seperti itu. “Er waalaikumsalam. Ha sampai pun! Cepat bagitau apsal kau lambat tadi.” Irah menampakkan sikap kegopohannya.



“Sabarlah awak, kalau ye pun bagilah saya ‘order’ dulu. ‘Jealous’ saya tengok awak asyik sekali meneguk ‘orange juice’ tu sampai saya datang pun awak tak perasan”. Seloroh Qistina dan kemudian dia berlalu untuk memesan air di gerai yang berdekatan.



Irah terus meneguk ‘orange juice’ sambil dahinya berkerut menampakkan seribu tanda tanya pada riak wajahnya. Walaupun Zahirah sangat bersahaja dan sering didakwa sebagai seorang yang tidak mempunyai perasaan oleh teman-temannya namun jika sesuatu perkara yang melibatkan Qistina, dia pasti akan ke hadapan.


“Ha, air dah dapat, duduk pun dah sedap bukan main, sekarang baik kau cerita kalau tak aku takkan tegur kau untuk dua hari”. Ugut Irah. Mungkin sudah tidak sabar benar dia menantikan penjelasan daripada Qistina. “Er kenapa dua hari? Kenapa tak seminggu je?Sebulan ke?” Qistina ketawa kecil.


“Dua hari cukuplah. Nanti saya berdosa pula kerana memutuskan silaturrahim selama lebih tiga hari. Dah kau jangan nak buat lawak. Cerita cepat!” Bentak Irah. Qistina sebenarnya amat mengagumi Irah. Walaupun agak kasar namun Irah sangat rajin mempelajari ilmu agama dan setiap malam Jumaat Irah sering mengikuti Qistina pergi ke masjid berdekatan untuk menghadiri kuliah agama. Jadi tak hairanlah Irah banyak mengetahui pesanan-pesanan Nabi junjungan, Muhammad s.a.w.


“Irah, saya nak balik”. Qistina tiba-tiba bersuara. “Apa? Kau nak balik? Mana ada cuti. Cuti akhir semester lambat lagi. Kau kenapa Qis?Tiba-tiba je nak balik. Soalan aku apsal kau lambat tadi dah la kau tak jawab lagi”. Irah berleter panjang. “Irah, pagi tadi mak saya telefon. Katanya..” Qistina semakin tidak betah menahan hiba. Dia tertunduk kaku. Suasana tiba-tiba menjadi suram. Kafeteria semakin lengang dengan pelajar dan hanya tinggal mereka berdua.


“Kenapa Qis? Apa yang mak kau kata? Irah yang kasar orangnya tiba-tiba menjadi lemah lembut dan mesra. Sambil mengangkat kepalanya, Qistina berkata “ Irah, ayah saya dah ‘pergi’ ”. Tersentak Irah mendengar berita tersebut. Dia merapati Qistina dan memeluk erat sahabat baiknya itu.“Innalillah. Sabar ye Qis. Allah s.w.t lebih menyayangi ayah Qis.” Hanya itu yang mampu diucapkannya.


Irah sudah sedia maklum akan keadaan kesihatan ayah Qistina yang lumpuh seluruh badan akibat serangan ‘stroke’ setahun yang lalu dan keadaan ayah Qistina semakin tenat sejak minggu lalu. Sejak ayah Qistina sakit, emaknyalah yang betungkus-lumus menguruskan keluarga. Mujurlah Qistina mendapat bantuan biasiswa. Setidak-tidaknya, dapat juga dia meringankan beban emaknya itu.



Qistina juga sering mengikat perut dan berbelanja seminimal mungkin bagi menyimpan wang untuk dihantar kepada ibunya. Walaupun Irah dan Qistina bukan rakan sebilik, namun Irah sering berhubung dengan rakan sebilik Qistina mengenai keadaannya termasuklah makan minum Qistina. Irah terus memeluk erat tubuh longlai Qistina sambil menyeka air mata Qistina yang semakin galak menghujani pipi teman baiknya itu.”Kenapa ujian Allah buat saya begitu berat, Irah? Saya tak sanggup lagi menahannya Irah. Saya lemah. Kenapa harus saya yang menerima ini semua Irah?Allah tak sayangkan saya ke Irah? Apa dosa saya sehingga begini berat sekali ujian yang harus saya terima? Irah, saya rindu ayah saya.” Tangisan Qistina semakin tidak terbendung.


“Qis, kau kena kuat. Tak boleh lemah macam ini. Kau ingat tak pesan Ustaz Rizal semasa kuliah agama minggu lepas? Walau apapun dugaan yang Allah turunkan buat kita, semua itu adalah untuk menguji sejauh mana kesabaran dan keikhlasan kita dalam menerima ketentuanNya. Ini takdir yang harus kau terima. Kita hamba-Nya sentiasa layak diuji. Kau, aku dan semua manusia tidak terlepas daripada ujian, hanya yang membezakan kita adalah bentuk ujian itu sendiri. Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang. Semua yang berlaku pasti ada hikmahnya. Mungkin Allah s.w.t tidak mahu ayah kau berperang dengan dirinya lagi dengan terus dihimpit rasa bersalah melihat kepayahan emak kau membesarkan kau adik-beradik sedangkan arwah tidak mampu menolong apa-apa. Ingat Qis, setiap yang hidup pasti akan kembali kepadaNya hanya masa yang menentukannya. Masa kita juga pasti akan tiba. Redha ye Qis. Berdoalah untuk ayah kau, Qis semoga rohnya ditempatkan di kalangan para solihin dan semoga kau akan bertemunya lagi di akhirat nanti.” Nasihat Irah apabila melihat Qistina sudah tidak mampu berkata-kata hanya linangan air mata menjadi saksi kesedihannya mengiringi pemergian ayah tercinta.



Dua pekan sudah berlalu. Irah semakin gelisah seperti cacing kepanasan apabila kelibat Qistina tidak muncul-muncul juga. Setiap pagi dia pasti akan menunggu Qistina di lobi bangunan universiti kalau-kalau kelibat Qistina kelihatan di situ tapi hampa.

“Mana budak ni. Dia tak nak ambil ‘exam’ ke? Lagi seminggu je tinggal ni. Kuliah dah la banyak tinggal”. Irah mengomel sendirian. Petang itu dia yang menghantar Qistina ke KL Sentral dan Terminal LCC. Mujur ‘flight’ ke Kelantan masih ada. Sejak itu Irah tidak mendengar lagi khabar berita daripada Qistina. Irah cuba menghubungi Qistina namun telefon bimbitnya dimatikan. “Dila, Qis ada ‘contact’ kau?” Sapa Irah apabila melihat kelibat Adilah, teman sebilik Qistina semasa berlegar-legar di lobi tersebut.

“Sejak pagi itu, saya langsung tidak terima sebarang berita daripada Qis”. Balas Adilah. Sebenarnya, berita mengenai kematian ayah Qistina hanya diketahui Irah sahaja. Walaupun Adilah merupakan teman sebiliknya namun dia mendapat berita tersebut setelah dua hari keberangkatan Qistina ke kampung halamannya dan itupun melalui Irah bukan dari mulut Qistina sendiri.


“Semasa Qistina sedang bersiap-siap untuk ke kuliah, tiba-tiba dia mendapat panggilan telefon daripada emaknya. Yang saya pelik lepas je mereka menamatkan perbualan, Qistina terduduk kaku di atas katil. Apabila ditanya dia kata tiada apa-apa. Dia mengelamun panjang sampai saya menyapanya kerana telah terlambat untuk ke kuliah,” Terang Adilah kepada Irah semasa diberitahu khabar mengenai pemergian ayah rakan sebilknya itu.


“Ya Allah, tabahnya kau Qistina. Tak sangka aku dalam menerima khabar hiba itu kau masih boleh pergi ke kuliah, tersenyum dan berseloroh denganku sehingga aku sendiri tidak dapat membaca penderitaan yang kau tanggung. Maafkan aku Qis. Aku bukan sahabat yang terbaik buat kau. Maafkan aku” Irah bermonolog.


“Ah tak boleh jadi ni, aku tak boleh diamkan diri sebegini. Apa tanggungjawab aku sebagai seorang sahabat? Takkan sekadar berdiam diri sedangkan sahabat baik yang selama ini banyak membimbingku sedang bermuram durjana. Aku mesti lakukan sesuatu. Sekurang-kurangnya aku tidak merasa bersalah pada diriku kerana membiarkan sahabatku sendirian menghadapi kesusahan. Aku mesti mencari tahu kenapa dia sudah lama tidak pergi ke kuliah.” Irah terus bermonolog dengan dirinya.



Setelah ‘check in’, Irah duduk di suatu sudut tempat menunggu sementara menanti untuk berlepas. Pandangan Irah tertarik pada sepasang suami isteri ‘orang putih’ yang sedang bergurau senda dengan puteri mereka yang dalam perkiraan Irah berusia lima tahun. Terdetik rasa cemburu dalam dirinya apabila melihat telatah manja anak kecil itu sambil bergelak ketawa bersama ibu bapanya.



“Apakah khabar mama saat ini? Dah lama aku tak menghubungi mama. Ya Allah, semoga mamaku sentiasa dalam perlindunganMu”. Doa Irah dalam-dalam.Tanpa disedari menitis air hangat di pipinya. Lamunannya terhenti lantaran terdengar pengumuman petugas yang mengarahkan para penumpang supaya beratur untuk menaiki pesawat. Irah segera menyeka air matanya sambil bergegas mengambil tempat di puluhan manusia yang sedang beratur menunggu giliran.



Tidak seperti Qistina, Irah dibesarkan dalam keluarga yang agak mewah. Papanya memiliki sebuah perusahaan perkapalan yang berdiri teguh sehingga hari ini. Tapi sayang, kekayaan dan pangkat tidak menjamin kebahagiaan malah bisa menggelapkan mata dan hati yang mudah goyah dengan hasutan syaitan. Papa Irah sering tidak pulang ke rumah dan meninggalkan mamanya yang sedang berperang dengan penyakit kanser payudara peringkat akhir sendirian di rumah.



“Gila! Berkasih-kasihan dengan perempuan yang hampir seusia dengan anak sendiri. Ah persetan semuanya! Biarlah papa dengan dunianya yang penting aku ada mama! Aku harus tabah untuk mama! Mama perlukan aku!” Bentak hatinya ketika melihat papanya berpegangan tangan bersama seorang perempuan muda yang berusia dalam lingkungan dua puluh lima tahun ketika dia sedang melewati sebuah pusat membeli belah. Ikutkan hati mahu sahaja dia menyerang perempuan tersebut tapi dia tahu itu hanya kerja yang sia-sia malah akan membuatkan dirinya malu.


Namun, luluh benar hatinya itu apabila melihat papa yang diharapkan menerajui bahtera rumahtangga di samping memberi semangat buat mama yang sedang berperang dengan maut, berpeleseran dengan anak muda seusia dengan anak gadisnya.


Qistinalah yang selama ini banyak mendorong Irah untuk terus kuat menghadapi ujian hidup yang pastinya tidak akan sepi mendampingi hambaNya. “Terima kasih Ya Allah kerana mengurniakanku teman sebaik Qistina di saat aku memerlukan tempat untuk mengadu”. Irah melakarkan rasa syukurnya. “Assalamualaikum”. Irah memberi salam.


Sejurus kemudian, kedengaran orang menyambutnya dari dalam dan dengan perlahan-lahan daun pintu dibuka. “Wa’alaikumsalam. Oo Irah rupanya. Jemput masuk Irah”. Wanita dalam lingkungan empat puluhan itu mempelawa Irah masuk sambil menyalami tangan anak gadis itu. “Mak cik sihat? Salam takziah ye mak cik. Irah minta maaf kerana tidak dapat menghadiri pengebumian pak cik tempoh hari”. Irah meluahkan kekesalannya.



“Alhamdulillah mak cik sihat. Terima kasih Irah. Takpe makcik faham Irah sibuk. Bakal doktorlah katakan. Irah duduk dulu ye nanti mak cik panggilkan Qistina”. Pelawa mak cik Esah kemudian berlalu ke mana pun Irah tidak tahu. Dia terus mengamati setiap sudut rumah itu. Sungguh sederhana malah baginya sungguh daif sekali. Kelihatan cahaya menembusi lubang-lubang kecil pada atap zink pondok usang tersebut.



“Assalamualaikum Irah. Err..awak..” Sapa Qistina yang agak terkejut dengan kedatangan Irah. Lamunan Irah mati seketika. Dia lalu bangkit dan tanpa berlengah lagi dia terus memeluk erat tubuh Qistina. “Wa’alaikumsalam Qis. Kau sihat?” Irah semakin tidak tegar menahan tangis. Rindu benar dia dengan gadis kacukan Cina itu. “Alhamdulillah. Saya sihat. Awak? “. Sahut Qistina.


“Alhamdulillah sihat juga. Tapi kenapa kau dah lama tak ke kuliah? Banyak yang kau dah tertinggal. Minggu depan dah nak ‘exam’. Semua orang risaukan kau, Qis.Banyak kali aku cuba hubungi kau tapi ‘handphone’ kau sentiasa ‘off’. Kenapa Qis?Kau ada masalah ke?”. Bertubi-tubi pertanyaan yang dilontarkan. “Maafkan saya Irah kerana menyusahkan awak sehingga sampai ke sini awak mencari saya. Maafkan saya”. Qistina tertunduk. Kelihatan manik-manik kaca gugur membasahi lantai kayu kediaman tersebut.


“Qis, kenapa?” Irah menggenggam erat jari-jemari Qistina. “Irah maafkan saya. Saya tidak mampu lagi untuk meneruskan pengajian. Saya orang susah Irah. Saya nak berhenti.” Irah tersentak. Mukanya tiba-tiba menjadi merah dan bengis sekali sambil air mata tetap tidak henti-henti mengalir meraikan suasana suram petang itu. “Apa Qis? Kau nak berhenti? Kau ulang sekali lagi! Aku tak dengar!” Irah tiba-tiba menjadi marah.



“Maafkan saya Irah. Saya nak tolong mak saya. Biarlah adik-adik saya yang meneruskan cita-cita saya. Saya tak sanggup melihat mereka berhenti sekolah gara-gara kesempitan hidup yang kami alami. Mereka masih kecil dan tidak seharusnya menanggung penderitaan ini. Jadi biarlah saya yang berkorban.

“Qis!Apa yang kau cakapkan ni? Kau sedar ke tak apa yang kau cakapkan ni?Kau tahukan kita tinggal setahun setengah je lagi untuk ‘graduate’? Kau tahukan bukan mudah untuk sampai ke tahap ni tapi senang-senang je kau nak mengalah sekarang! Kau kata nak tolong emak dan adik-adik kau tapi apa yang kau mampu buat? Kelulusan apa yang kau ada? Setakat jual kuih? Kerja kilang? Berapa sangat yang kau dapat untuk membantu adik-adik kau? Cukupkah Qis? Berbanding jika kau bertahan untuk setahun setengah je lagi."Sambil memegang wajah Qistina, Irah menunjukkan ruang-ruang di rumah tersebut. “Kau tengok ni!Kau tengok atap ni .Mampukah kau mengubahnya menjadi atap genting? Mampukah kau mengubah papan-papan ini menjadi batu? Mampukah kau mengubah kehidupan kau sekarang dengan mengalah sebegini?.Aku tahu Qis, wang bukanlah tujuan utama ‘profession’ ini tetapi sifat kemanusiaan itu sendiri. Kalau kau masih ingat dulu kita sama-sama pernah membina impian ingin berkhidmat untuk agama dan bangsa terutama mereka yang susah. Apa kau sudah lupa?Kalau kau undur diri apalah nasib rakyat kita yang mengharapkan pertolongan kau suatu hari nanti Qis? Lupakah kau kerjaya ini yang kau idam-idamkan sejak kecil? Tidak semua orang berpeluang tapi bila kau dah sampai tahap ni senang je kau nak tinggalkan. Kau pentingkan diri sendiri Qis! Sampainya hati kau nak tanamkan jauh ke bumi harapan emak dan ayah kau!”Irah semakin hilang sabar.


“Qis, aku dah malas nak cakap dengan kau lagi. Aku tak pernah ada sahabat yang cepat benar putus asa! Qistina yang aku kenal dulu sungguh tabah dan tidak pernah mengalah berperang dengan nasib hidup! Kalau profesor dan kawan-kawan tahu pasti mereka gelakkan kau, Qistina! Kau dah lupa kata-kata semangat yang pernah kau ungkapkan sebagai perangsang untuk aku terus bertahan melawan takdir hidup aku? Inikah Qistina yang amat aku kagumi dulu?” Irah terus lontarkan kekesalannya.


“Irah, awak tak paham.” Qistina cuba membela diri. "Dah la Qis, aku tak nak dengar apa-apa lagi. Aku balik dulu. Ambillah nota-nota ni. Kalau kau rasa ianya berguna untuk kau, kau tahu apa perlu kau buat. Aku tak kisah bersusah-payah demi sahabat tapi kalau kau sendiri putus asa dengan nasib kau apa aku boleh buat. Kalau kau rasa masa depan kau, emak dan adik-adik kau masih ingin kau bela, kau bacalah dan aku tunggu kau di dewan peperiksaan minggu depan. Sungguh aku menyesal kerana terlalu mengharap pada orang yang tidak ada matlamat hidup ni. Kau buatlah apa yang kau rasa terbaik!Semoga kau berjaya, Qis. Assalamualaikum”. Irah berlalu tanpa sempat membenarkan sepatah kata daripada Qistina untuk membela diri.


Air mati semakin galak menghujani pipi gebu Qistina. Pilu benar hatinya mengenangkan pengorbanan yang Irah hulurkan tapi berakhir dengan kekecewaan. “Maafkan saya Irah. Saya tak mampu. Maafkan saya”. Qistina menyesali diri sendiri.


Sebentar lagi peperiksaan akhir semester tujuh akan bermula. Selepas ini mereka akan bersiap-siap pula untuk menjalani praktikum di hospital yang terpilih. Wajah setiap mahasiswa menampakkan kegelisahan. Ada yang lebam-lebam matanya akibat kurang tidur dan ada juga yang pucat lesu bagai mayat. Maklumlah inilah penentunya setelah bersusah payah selama hampir tiga tahun setengah untuk sampai ke tahap ini. Sesuatu yang pastinya bukan mudah.Segala pengorbanan dan kesungguhan tidak akan disia-siakan demi menggapai impian menjadi tunggak harapan bangsa dan agama.


Semua pelajar mendapatkan tempat duduk masing-masing sesuai dengan angka giliran. Irah kelihatan sungguh gelisah dan acap kali juga dia melemparkan pandangan mencari-cari kelibat tubuh Qistina namun hampa. “Aku kecewa Qistina”. Irah tertunduk. “Baiklah semua pelajar, peperiksaan akan dimulakan lima minit lagi. Sila semak angka giliran dan maklumat yang tertera pada kertas jawapan. Pastikan semuanya betul.” Pesan Prof. Madina kepada pelajar-pelajarnya.


“Prof! Maafkan saya kerana terlambat”. Pinta seorang mahasiswi yang agak kelam kabut dan sesekali dia menarik-narik nafas yang seakan sukar untuk dilepaskan.Irah mengangkat kepalanya seolah-olah dia kenal benar akan suara tersebut.“Qistina! Alhamdulillah”. Irah menarik nafas lega. Dari jauh, Qistina melemparkan pandangan pada Irah dan mereka berbalas senyuman. “Terima kasih Irah. Kaulah sahabat saya di dunia dan mudah-mudahan di akhirat juga”. Kata Qistina pada Irah semasa keluar dari dewan peperiksaan.


“InsyaAllah. Mudah-mudahan ukhwah ini sentiasa dalam perlindungan-Nya dan semoga kita sama-sama dapat menjadi seorang doktor yang beriman dan berbakti kepada masyarakat dan agama. InsyaAllah. Kita boleh!” Kata Irah penuh semangat. “Ya kita pasti boleh! Semangat!!” Sahut Qistina.