Footer Right Content

Wednesday, January 5, 2011

Perbaiki Diri Untuk Memperbaiki Orang Lain

Pada hari ini (05 Jan 2011) Daily Mail, sebuah portal Britain melaporkan bahawa jumlah terkini rakyat Britain yang memeluk Agama Islam telah melepasi angka 100,000 orang di seluruh negara tersebut.

Kajian yang dijalankan oleh sebuah badan kepelbagaian agama di Britain menyifatkan ia sebagai mengalami satu proses "pengIslaman negara Britain".

Laporan itu juga menganggarkan kira-kira 5,200 lelaki dan wanita telah memeluk Islam sepanjang 12 bulan yang lalu, termasuk 1,400 orang di London. hampir 2 per 3 mereka adalah wanita. Lebih 70 peratus adalah wanita berkulit putih dengan purata umur sekitar 27 tahun.

Di tahun 2001, dianggarkan kira-kira 60,000 orang rakyat Britain telah memeluk Islam.

Satu tinjauan telah dijalankan oleh Kevin Brice dari Universiti Swansea yang bertanya kepada mereka yang telah memeluk Islam, tentang aspek negatif yang dilihat oleh mereka terhadap budaya British. Purata rakyat Britain yang memilih Agama Islam adalah, golongan muda wanita Inggeris berkulit putih, yang berusia lingkungan 27 tahun. Mereka dikatakan sudah bosan dan benci dengan masalah moral dan ketidaksopanan warga British.

Berita penuh boleh dirujuk di SINI.

Bagi kita yang berada di Malaysia khususnya di bumi Sabah, berita sebegini mungkin jarang sekali kita dengar apatah lagi berhadapan sendiri dengan kes seumpama ini. Apabila terdengar tentang berita ada seorang sahabat yang ingin mengucap dua kalimah syahadah (peluk Islam), kita dengan penuh semangat akan berusaha sedaya upaya untuk turut serta dalam ‘upacara’ ini.

Tetapi sedarkah kita bahawa ingin saya katakan di sini, apabila seorang saudara baru yang memeluk Islam adalah bersamaan 10 orang bahkan lebih saudara seIslam kita sedang dimurtadkan. Tahukah kalian yang musuh-musuh Islam tidak kenal erti penat lelah dalam usaha menjauhkan kita daripada agama Allah yang mulia ini? Selama-lamanya mereka tidak akan berhenti dan ini terbukti dengan firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 120 yang bermaksud:

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu sehingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu”.

Justeru, disamping kita berbangga bahawa umat Islam semakin bertambah, jangan pula kita terleka dengan ‘serangan’ daripada musuh untuk memurtadkan umat Islam yang rapuh pegangan agamanya. Kita umat Islam perlu berubah. Berubah dan terus berubah ke arah yang lebih baik.

Jika perubahan itu mesti bermula daripada diri, maka usahakanlah perubahan pada diri kita, selaku pendakwah untuk lebih tenang dan teliti dalam menghalusi dakyah-dakyah pemikiran musuh Islam terhadap agama ini. Andai tidak mahu berubah, lancang mengkritik tetapi kurang mahu mengkaji dan mendalami secara adil, itu terserah kepada mereka.

Bagi pendakwah yang yakin akan kesihatan pemikiran dan kepercayaan aqidahnya, merekalah yang selayaknya untuk mengusahakan perubahan. Kita ubah cara kita memberikan penyelesaian, cara kita menguruskan cabaran, kerana kita mampu berbuat demikian. Jangan terlalu gelojoh menyerang, menentang, menghukum, ketika kita sendiri bukanlah saingan yang dihormati lawan (jika boleh disebut demikian).

Pendakwah yang hebat mampu mengakui kelemahan dan memperbaikinya. Andai ada golongan yang mahu terus ego dalam mempertahankan pandangan mereka, itu urusan mereka. Namun Islam yang dijulang, menjadikan kita bersedia untuk mengambil sebahagian tanggungjawab memperbaiki keadaan. Memperbaiki cara kita berdakwah, mempunyai banyak faedah yang boleh meredakan penyakit diminda.

Marilah kita sama-sama ‘mengukuhkan’ agama dalam diri kita disamping berusaha meluaskan medan untuk berdakwah.

0 comments: