Footer Right Content

Wednesday, April 22, 2009

Shuffle Islamik; Wadah Baru Pikat Anak Muda?


Anak muda yang lazim terdedah kepada pelbagai budaya baru dan dikurniakan sifat ingin mencuba kini dibelenggu budaya baru - Shuffle, atau nama asalnya Melbourne Shuffle. Tarian yang lahir lewat 1980an ini di Melbourne, kelihatan seakan-akan tarian moonwalk Michael Jackson. Malah, ada beberapa gerakan yang ternyata serupa. Masyarakat yang prejudis akan terus menghentam budaya tersebut, sebagaimana mereka meludahi budaya breakdance, capoeira dan mat rempit. Golongan yang oportunis pula akan mngambil kesempatan ini dengan menghasilkan 'karya seni' yang menambah persepsi buruk terhadap golongan ini, seperti filem KL Menjerit, Impak Maksima dan Rempit. Sedangkan golongan yang lebih bijak mendekati anak-anak muda ini, membentuk dan mengajar mereka mengguna pakai tenaga, menaikkan poster dan bendera ketika pilihanraya, menyalurkan minyak motor menyokong perjuangan agama bangsa dan memberi ruang kepada mereka melaksanakan 'budaya zaman mereka' melalui saluran yang betul. Saya memilih untuk menjadi golongan bijak pandai.


Pada saya, dosa anak-anak muda ini menari shuffle dan sebagainya tidak lebih daripada dosa datuk nenek mereka menari zapin, yang sumbernya adalah dari kemasukan budaya timur tengah Arab, moyang mereka bermain wayang kulit, yang dikatakan mempunyai susur-galur budaya Hindu dan tarian joget yang dipengaruhi budaya Portugis. Soalnya ialah bagaimana mereka dibentuk supaya manfaatnya sampai? Saya memandang optimis budaya baru ini dari pada beberapa sudut;

a) Budaya ini bukti tenaga anak muda yang kalau disalurkan dengan baik pada platform yang betul boleh dikerah membangunkan agama dan nusa bangsa,

b) Anak-anak muda ini punya kekosongan yang minta diisi dan ada kemampuan untuk menangkap dan mempelajari sesuatu yang diminati dengan cepat,

c) Anak-anak muda ini sentiasa mencari saluran mengekspresi diri,

d) Golongan ini boleh bersatu atas asas minat yang sama, dan boleh dibentuk agar minat mereka dikawal daripada anasir tidak baik seperti merokok, menagih dadah dan membuli.

Kita harus akur bahawa hari ini kita tidak mampu mencipta fenomena yang boleh menjadi ikutan para remaja. Tidak ada satu kempen atau program atau apa sahaja bentuk aktiviti pun yang mampu meresapi golongan ini dengan sebegitu menyeluruh dan pantas sehingga menembusi sempadan urbanisasi dan melewati batas umur. Malah, ia mula dijadikan persembahan di majlis rasmi sekolah [klik sini] selain menarik minat golongan 'mat songkok' [dan sini]. Jadi apa gunanya mencipta fenomena baru sedangkan fenomena sedia ada boleh dibentuk? Justeru saya mencadangkan organisasi Islam dan lain-lain badan belia menerima baik budaya ini, misalnya dengan mengadakan pertandingan Shuffle Seantero Sabah, dengan diubah beberapa pendekatan;

a) Para peserta diwajibkan menutup aurat, penyertaan hanya dibuka kepada lelaki dan dilarang mencetuskan keadaan yang tidak sihat,

b) Program diadakan secara Islamik dengan menghormati waktu solat, dimulakan dengan tazkirah (misalnya berhubung kepentingan bersukan dalam Islam) dan melibatkan tokoh-tokoh agama idola remaja,

c) Peserta dibenarkan membawa satu lagu bebas tetapi dikehendaki menari mengikut rentak yang diaminkan oleh pihak penganjur untuk satu lagi lagu, yang merupakan lagu nasyid atau Islamik (lagu Native Deen, Muadz etc),

d) Hadiah yang diberikan mempunyai nilai Islam dan mampu mencetus atau membuka ruang kepada remaja untuk lebih mendekati Islam,

e) Diadakan program susulan untuk para peserta, yang boleh jadi adalah program perkelahan, khidmat masyarakat dan sebagainya, yang dijalankan secara santai.

Siapakah yang akan terlebih dahulu menyahut cabaran ini? PSS? ABIM? MBS? Atau lebih ramai yang akan bersikap pengecut dan menyatakan, 'Ah, karut?'?

SMK Pekan Telipok Meriahkan Qiam Tuaran Ke-4


Qiam Tuaran kali ke-4 pada 18-19 April 2009 yang lepas mencipta sejarah apabila turut melibatkan pelajar dari SMK Pekan Telipok, yang menghantar penyertaan buat kali pertama. Sekolah-sekolah tegar yang biasa menghantar penyertaan ialah SMK Badin, SMK Tamparuli, SMK Tenghilan dan terbaru, kumpulan remaja dari Kampung Kindu, Tuaran. Program qiam pada bulan ini awalnya dirancang untuk dilaksanakan pada 25-26 April, tetapi terpaksa diawalkan oleh kerana bertembung dengan KRIS Papar. Tahniah adik-adik seramai lebih 100 orang yang mampu ikut serta dalam notis masa yang begitu singkat!

Adik-beradik seperjuangan, Sdra. Faiz
dan Sdra. Kasman.


Wednesday, April 15, 2009

KRIS Pitas; Serampang Tiga Mata


Ahli PSS-KRU diminta mengadakan Kem Remaja Islam di Pitas sekitar bulan Februari yang lepas oleh Ustaz Wan, guru di SMK Pinggan-Pinggan pada satu pertemuan tidak rasmi di Likas. Alhamdulillah, cabaran disahut, dan biarpun KRIS Pitas dijadualkan untuk dilaksanakan hanya seminggu selepas selesai KRIS Tuaran, team profesional yang dikerah tidak menghadapi banyak masalah melaksanakannya. Semua ahli yang terlibat menjayakan KRIS Pitas punya kelebihan untuk bekerja di segenap ruang secara adhoc, samada menjadi pengacara majlis secara tiba-tiba, mengurus majlis penutup hanya dengan persediaan dua, tiga jam dan menyampaikan penerangan tayangan dokumentari dunia Islam, sekaligus melancarkan kempen boikot, sekaligus mengisi slot penerangan berhubung Kelab Remaja Ukhuwwah. Beginilah bentuk ahli yang cuba dilahirkan, dengan harapan dakwah dapat terisi di lebih banyak tempat, tanpa memerlukan tenaga kerja yang terlalu ramai dan membebankan.

KRIS pada kali ini bertempat di Sekolah SMK Pinggan-Pinggan, dengan peserta seramai 103 orang. Rata-rata peserta terdiri daripada pelajar menengah atas, dan mempunyai kesedaran agama yang agak baik. Pengiktirafan harus diberikan bahawa kelompok ini adalah kelompok yang mudah diurus dan kem berjalan dengan lancar dan teratur. Tahniah kepada pendidik-pendidik sekolah yang bertungkus-lumus membangunkan mereka dengan budaya Islam. Komitmen yang juga tampak melalui usaha gigih barisan pendidik menyediakan makanan dan mengurus persiapan program untuk para peserta.

Lebih menarik lagi apabila misi PSS-KRU ke Pitas tidak sekadar mengadakan Kem Remaja Islam. Desakan masa dan tenaga yang terhad memaksa ahli mengisi segenap ruang dan peluang yang ada. Justeru, sebelum ke tapak program KRIS, PSS-KRU dengan Cikgu Jamil, penggerak kumpulan Sahabat Bible sempat menziarahi Puan Zaleha, bekas mubaligh yang telah memeluk agama Islam. Uniknya, beliau juga merupakan Pengerusi Surau di tempatnya, pengiktirafan yang jarang diperolehi oleh seorang wanita! Beliau sempat menceritakan pengalaman memeluk Islam, sehingga ke tahap ditembak oleh bapa sendiri.

Pada hari akhir program pula, sebelum bertolak pulang ke Kota Kinabalu, PSS-KRU bergerak ke Kampung Saab, bertemu dengan penduduk kampung yang telah 20 tahun memeluk Islam tanpa mendapat perhatian dan bimbingan. Kes mereka telah diperhalusi oleh PSS sebelum ini, dan alhamdulillah, hasrat mereka supaya diadakan kelas fardhu ain mingguan dapat diatur dengan kerjasama daripada pihak JHEAINS Pitas. Laporan program tersebut boleh diteliti di laman PSS.

Sesungguhnya jauh perjalanan ke Pitas membawa seribu erti kepada PSS dan KRU, samada dalam bentuk mengeratkan perhubungan silaturrahim, menyelesaikan masalah umat, membangunkan generasi muda selain mendedahkan muslimat PSS kepada gerakerja di lapangan. PSS-KRU mendapat tiupan semangat baru menjayakan jemputan KRIS di Papar dan Tambunan. Ada lagi yang berminat KRIS diadakan sebagai langkah mula di tempat anda? :)

Tuesday, April 14, 2009

Perhatian!!! Perubahan Tarikh Qiam Tuaran!!!

Untuk makluman semua adik-adik Kelab Remaja Ukhuwwah (KRU) Tuaran yang dikasihi, tarikh Program Qiamullail Tuaran untuk bulan April ini telah diubah dari tarikh asal. Qiam KRU Tuaran kali ini diawalkan daripada tarikh asal 25 April ke 18 April 2009.

Hal ini adalah kerana kebanyakan ahli PSS dan KRU Tuaran terlibat dalam menjayakan Kem Remaja Islam '09 (KRIS '09) Papar yang akan dilangsungkan pada 24 hingga 26 April 2009 di SMKA Limauan Kimanis, Papar. Justeru, diharap semua sahabat-sahabat dan adik-adik yang dikasihi sekalian dapat menyebarkan maklumat ini kepada semua sahabat-sahabat dan rakan-rakan yang lain...

Harap maklum. Sebarang kesulitan harap dimaafkan...(^^)

Monday, April 6, 2009

Sultan Muhammad Al Fateh, Penakluk Konstantinopel

Adakah Kau Lupa..


Adakah kau lupa
kita pernah berjaya
kita pernah berkuasa
memayungi 2/3 dunia
merentas benua
melayar samudera
keimanan juga ketaqwaan
rahsia mereka capai kejayaan

Bangunlah wahai nak bangsa
kita bina
kekuataan jiwa tempuh
rintangan perjuangan

Gemilang generasi yang silam
membawa arus perubahan
keikhlasan hati dan nurani
ketulusan jiwa mereka berjuang

Adakah kau lupa
sejarah telah mengajar kita
budaya Islam di serata dunia
membina tamadun berjaya
merubah mengangkat maruah

Nasyid daripada : Kumpulan Alarm Me
Tajuk : Adakah Kau Lupa (lagu tema Islamic Summer Camp ke-2)

Episod silam kegemilangan kerajaan Islam dinukilkan indah dari bait nasyid di atas. Antara lain menyedarkan kita supaya mengambil ibrah perihal kehebatan Tamadun Islam yang mendominasi dua pertiga dunia. Oleh itu,penulis ingin mengemukakan persoalan bagaimana kita mengimplementasikan perjuangan generasi terdahulu umat Islam agar sempadan dunia baru Islam dapat dibentuk semula (khilafah Islamiyyah). Justeru menjadi tanggungjawab golongan yang faham memahamkan golongan yang kurang faham. Di sini penulis ingin mengambil pengajaran daripada seorang tokoh Islam terkenal bernama Sultan MUhammad Al Fateh, penakluk Konstantinopel. Moga-moga menjadi jawapan bagi persoalan diatas.

Sultan Muhammad Al Fateh, Penakluk Konstantinopel

Pada zaman dahulu terdapat beberapa kuasa besar dunia. Antaranya sebuah Khilafah Islamiyyah yang bernama Uthmaniyyah dan Kerajaan Rom yang berpusat di Konstantinopel(kini Istanbul). Dinasti Usmaniyyah ini berasal dari wilayah kecil sebelah barat Anatolia hasil pemberiaan Dinasti Saljuk kepada Ethrogul. Baginda telah meluaskan kawasan pemerintahan dengan menawan kawasan sekitarnya.Sehinggalah suatu ketika pewaris takhta berjaya menguasai Bulgaria, perancis dan Jerman pada tahun 1393.Dinasti Usmaniyyah ini jualah mengekalkan tampuk pemerintahan Khilafah Islamiyyah sehingga tahun 1924.

Kerajaan Rom sering mengancam gerakan dakwah Islam semenjak zaman Rasulullah. Rasulullah ada menghantar surat kepada pemerintah Rom, tetapi surat tersebut dikoyakk-koyakkan. Rasulullah berdoa semoga kerajaan Rom akan dikoyakkan oleh tentera Islam.Dari itu, usaha menakluk kota konstantinopel dimulakan oleh Saidina Ali kw pada 34 Hijrah. Rasulullah pernah bersabda "Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan islam. pemimpin yang menaklukinya adalah sebaik-baik pemimpin, dan pasukan yang ada dibawah komandonya adalah sebaik-baik pasukan"(Hadis riwayat Ahmad bin Hambal Al Musnad 4/335). Napoleon Bonaparte berkata "kalaulah dunia ini sebuah negara, maka konstantinopel inilah yang paling layak menjadi ibu negaranya".

Sultan Muhammad Al fateh dilahirkan pada 27 Rejab 835 Hijrah. Baginda berjaya Menakluk Konstantinopel pada 20 Jamadil Awal 857 Hijrah ketika berusia 21 tahun.Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 akibat diracun oleh seorang Yahudi. Baginda dididik oleh Syeikh Syamsuddin Al Wali dengan bimbingan ilmu agama. manakala Panglima Thartan pula mengajarnya ilmu peperangan.baginda diajar hidup besederhana. waktu kecilnya,baginda seorang yang degil, keras hati dan enggan mempelajari ilmu agama sehingga baginda pernah dirotan oleh gurunya dengan kebenaran ayahandanya Sultan Murad. Begitu pula baginda seorang yang cekap dan tangkas bermain senjata. baginda juga pernah mengambil alih tugas kepimpinan negara pada usia muda kerana ayahandanya menetap sementara di Pulau Magnesia.

Baginda memerintah kerajaan Usmaniyyah setelah ayahandanya meninggal dunia.Perkhabaran ini menggembirakan pemerintah Rom yang sentiasa bermusuhan dengan Islam. Mereka yakin mampu mengalahkan Islam serta memandang rendah pada kebolehan Sultan Muhammad yang masih muda. Sultan Muhammad mempunyai tekad yang tinggi untuk menakluk konstantinopel sejak kecil lagi. Semenjak menerajui pemerintahan, baginda sedaya upaya mendidik pasukan tentera dan rakyatnya supaya kembali kepada Islam yang syumul.tarbiyyah ini menepati apa yang diisyaratkan oleh Rasulullah dalam hadis diatas.Tertegaknya deen dalam hati setiap rakyatnya beriringan dengan usaha mempertahankan negara dari serangan Rom dan usaha menakluk Kota Konstantinopel menjadi tunggak kejayaan ini.

Dalam mempertahankan negara dari serangan musuh, cadangan pembinaan tembok yang mengelilingi selat Bosphorus dimulakan.Ia dinamakan Rumeli Hisarri.Muslimin mahupun Musyrikin masing-masing bersifat offensive dan defensive.Pihak Rom pula bertahan di kubu kuat mereka Kota Konstantinopel.Namun kebimbangan menerpa benak Maharaja KOnstantine melihat gah tersergam benteng Rumeli Hisarri. Sabotaj akan mereka lakukan.Tukul besi dan kelengkapan lainnya menjadi senjata baru tentera Rom.Mereka bergerak di waktu malam.Siang tentera Islam membina tembok,malam tentera Rom membinasa.Namun kawalan ketat tidak memungkinkan hal itu terjadi. Tumpaslah 1000 orang tentera Rom yang hanya bersenjatakan tukul besi.Setelah benteng Rumeli Hisarri siap (height=20 hasta,width=9 hasta,long=5000 hasta)langkahpun bermula,tentera Islam siap siaga,Kota Konstantinopel latar acara.

Senjata Hebat diperlukan. Setakat pelontar batu,tentera Rom tidak gentar.Suatu lagenda ada mengatakan terdapat seorang pembuat meriam,orang Yunani, Urban namanya.Ketika itu meriam digeruni sebagai senjata tercanggih zaman pasca-logam.Urban memang ada. Dia dipenjara di bilik bawah tanah akibat tidak berkerjasama dengan Rom membuat senjata pemusnah itu. 2 orang pengintip dihantar ke Kota Konstantinopel sebagai pedagang. Mereka mencari maklumat tentang Urban, dimana dia dikurung dan berusaha membebaskannya dengan cara membuat terowong bawah tanah. Akhirnya Urban berjaya dibawa menghadap SUltan Muhammad Al Fateh.Sultan Muhammad memujuk supaya menggunakan teknologi Meriam untuk mengalahkan Rom,juga mengajak Urban memeluk Islam.Allah memberikan Hidayah kepada Urban, dan dia masuk Islam serta berkerjasama untuk membuat meriam.

Kat sebelah ni la meriam yang digunakan untuk meruntuhkan Kubu Konstantinopel.Meriam ini dikatakan mampu menembak 1500 Pound Granit bagi sesaran 1 batu. Digunakan untuk menyerang kota Konstantinopel, selama 90 hari, 7 round sehari untuk setiap meriam.

Tuaran Pemula Menyemarakkan Bahang KRIS

SMK Sri Nangka, Tuaran menjadi tuan rumah program tahunan Kem Remaja Islam (KRIS) pada tahun ini, menjadikan KRIS Tuaran program pertama seumpamanya pada tahun ini. KRIS Tuaran akan disusuli oleh KRIS Pitas pada 10-12 April 2009, diikuti KRIS Kota Kinabalu, Kota Belud dan Sipitang di pantai barat Sabah.


KRIS Tuaran disertai oleh 127 orang peserta daripada 8 buah sekolah di kawasan Tuaran, iaitu SMK Sri Nangka, SMK Badin, SMK Tamparuli, SMK Tenghilan, SM St. John, SM St. James, SMK Desa Wawasan dan SMK Sg. Damit. SMK Kiulu tidak dapat menghantar peserta. Tenaga pelaksana dan fasilitator seramai hampir 55 orang terdiri daripada mahasiswa UMS, Politeknik Kota Kinabalu dan Institut Perguruan Kent, Tuaran.

Daerah Tuaran didiami khususnya oleh masyarakat Bajau. Suku Bajau, atau Sama dikenali dengan sifat panas baran dan berani. Mereka juga merupakan kelompok yang sedia lahir dalam agama Islam. Walaupun begitu, kurangnya usaha dakwah secara bersungguh dan konsisten, sebagaimana di tempat-tempat lain di Sabah, menyebabkan mereka turut dihantui sindrom 'Islam pada nama'. Malah, perkembangan Islam di Tuaran adalah sangat lembab berbanding daerah-daerah Ranau, walaupun ustaz-ustazah yang berasal dari semenanjung sahaja dan menetap di Tuaran menjangkau jumlah 200 orang. Begitu hasil perbincangan kami dengan Ketua Panitia Pendidikan Islam SMK Sri Nangka, Ustaz Nordin.

Apapun, program berjalan dengan lancar, dan menjanjikan anjakan paradigma di pihak peserta, pelaksana dan fasilitator program. PSS merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan KRIS Tuaran 2009, seterusnya menjemput semua menjayakan Program KRIS di daerah-daerah lain. Tahniah KRIS Tuaran!


Koleksi gambar KRIS Tuaran di kotak Ilmuwan di sebelah kanan laman KRU!