Footer Right Content

Wednesday, April 22, 2009

Shuffle Islamik; Wadah Baru Pikat Anak Muda?


Anak muda yang lazim terdedah kepada pelbagai budaya baru dan dikurniakan sifat ingin mencuba kini dibelenggu budaya baru - Shuffle, atau nama asalnya Melbourne Shuffle. Tarian yang lahir lewat 1980an ini di Melbourne, kelihatan seakan-akan tarian moonwalk Michael Jackson. Malah, ada beberapa gerakan yang ternyata serupa. Masyarakat yang prejudis akan terus menghentam budaya tersebut, sebagaimana mereka meludahi budaya breakdance, capoeira dan mat rempit. Golongan yang oportunis pula akan mngambil kesempatan ini dengan menghasilkan 'karya seni' yang menambah persepsi buruk terhadap golongan ini, seperti filem KL Menjerit, Impak Maksima dan Rempit. Sedangkan golongan yang lebih bijak mendekati anak-anak muda ini, membentuk dan mengajar mereka mengguna pakai tenaga, menaikkan poster dan bendera ketika pilihanraya, menyalurkan minyak motor menyokong perjuangan agama bangsa dan memberi ruang kepada mereka melaksanakan 'budaya zaman mereka' melalui saluran yang betul. Saya memilih untuk menjadi golongan bijak pandai.


Pada saya, dosa anak-anak muda ini menari shuffle dan sebagainya tidak lebih daripada dosa datuk nenek mereka menari zapin, yang sumbernya adalah dari kemasukan budaya timur tengah Arab, moyang mereka bermain wayang kulit, yang dikatakan mempunyai susur-galur budaya Hindu dan tarian joget yang dipengaruhi budaya Portugis. Soalnya ialah bagaimana mereka dibentuk supaya manfaatnya sampai? Saya memandang optimis budaya baru ini dari pada beberapa sudut;

a) Budaya ini bukti tenaga anak muda yang kalau disalurkan dengan baik pada platform yang betul boleh dikerah membangunkan agama dan nusa bangsa,

b) Anak-anak muda ini punya kekosongan yang minta diisi dan ada kemampuan untuk menangkap dan mempelajari sesuatu yang diminati dengan cepat,

c) Anak-anak muda ini sentiasa mencari saluran mengekspresi diri,

d) Golongan ini boleh bersatu atas asas minat yang sama, dan boleh dibentuk agar minat mereka dikawal daripada anasir tidak baik seperti merokok, menagih dadah dan membuli.

Kita harus akur bahawa hari ini kita tidak mampu mencipta fenomena yang boleh menjadi ikutan para remaja. Tidak ada satu kempen atau program atau apa sahaja bentuk aktiviti pun yang mampu meresapi golongan ini dengan sebegitu menyeluruh dan pantas sehingga menembusi sempadan urbanisasi dan melewati batas umur. Malah, ia mula dijadikan persembahan di majlis rasmi sekolah [klik sini] selain menarik minat golongan 'mat songkok' [dan sini]. Jadi apa gunanya mencipta fenomena baru sedangkan fenomena sedia ada boleh dibentuk? Justeru saya mencadangkan organisasi Islam dan lain-lain badan belia menerima baik budaya ini, misalnya dengan mengadakan pertandingan Shuffle Seantero Sabah, dengan diubah beberapa pendekatan;

a) Para peserta diwajibkan menutup aurat, penyertaan hanya dibuka kepada lelaki dan dilarang mencetuskan keadaan yang tidak sihat,

b) Program diadakan secara Islamik dengan menghormati waktu solat, dimulakan dengan tazkirah (misalnya berhubung kepentingan bersukan dalam Islam) dan melibatkan tokoh-tokoh agama idola remaja,

c) Peserta dibenarkan membawa satu lagu bebas tetapi dikehendaki menari mengikut rentak yang diaminkan oleh pihak penganjur untuk satu lagi lagu, yang merupakan lagu nasyid atau Islamik (lagu Native Deen, Muadz etc),

d) Hadiah yang diberikan mempunyai nilai Islam dan mampu mencetus atau membuka ruang kepada remaja untuk lebih mendekati Islam,

e) Diadakan program susulan untuk para peserta, yang boleh jadi adalah program perkelahan, khidmat masyarakat dan sebagainya, yang dijalankan secara santai.

Siapakah yang akan terlebih dahulu menyahut cabaran ini? PSS? ABIM? MBS? Atau lebih ramai yang akan bersikap pengecut dan menyatakan, 'Ah, karut?'?

0 comments: