Footer Right Content

Wednesday, March 25, 2009

Membangunkan Anak Muda Dengan Qiyamullail


Sejak lebih-kurang 5 minggu Suaru Al-Mustaqim Kampung Kindu dihidupkan dengan kuliah ilmu, kehadiran generasi muda dari umur 6 tahun sehingga umur 20an begitu memberansangkan. Lantaran itu Persatuan Siswazah Sabah memberanikan diri mengambil satu langkah kehadapan; mengadakan program qiyamullail remaja. Kemungkinan besar ini adalah kali pertama generasi muda kampung tersebut mendengar istilah qiyamullail dan terlibat dengannya, malah, mungkin ini adalah kali pertama keheningan malam di Kampung Kindu dipecahkan oleh alunan ikir dan munajat penduudknya. Apapun, yang pasti, yang pertama ini bukan yang terakhir, dan ia akan merintis gerakerja pembangunan modal insan bertaqwa yang lebih mesra rakyat dan kemas oleh PSS sendiri.

Qiyamullail bermula dengan penyampaian ceramah bertajuk 'Apa Ertinya Saya Menganut Islam' oleh 'tokoh veteran' PSS, Saudara Salman Mohd Amin, disusuli oleh slot ta'aruf dan slot muhasabah 'Pengorbananmu Ibu Ayah' oleh Saudara Roslan. Malam itu menyaksikan pelbagai janji dilafazkan oleh adik-adik Kg Kindu. Moga-moga janji tidak hanya tinggal janji.


Untuk permulaa, adik-adik muslimat telah diamanahkan untuk tidur di rumah masing-masing, dan datang semula pada keesokan harinya. Seperti dijangka, kehadiran peserta muslimat sekitar jam 4.10 pagi mengejutkan peserta muslimin, yang bergegas bersiap untuk mencipta rekod peribadi dalam catatan diari kehidupan masing-masing - bersolat sunat jam 4.30 pagi.


Program kali ini ditutup dengan Slot Pecah Kepala, yang menghendaki para peserta memikirkan jawapan kepada beberapa soalan yang dilontarkan, sebelum peserta membuat resolusi program. PSS yakin usaha seperti ini akan mendapat sambutan lagi di masa hadapan, samada di Kampung Kindu atau lain-lain tempat. Yang diperlukan oleh generasi muda Sabah ini hanyalah seseorang untuk datang memetik suis 'celik Islam' di hati dan fikiran mereka, lantas kemahuan mereka sendiri akan merangsang merekuntuk terus mencari dan memperbaiki diri.

Masalahnya, berapa ramai sangat orang yang mempunyai kemahuan memainkan peranan sebagai 'sang pemetik suis'?



0 comments: