Footer Right Content

Friday, December 26, 2008

Selamat BerPLKN


Salam kasih-sayang,
Kami daripada barisan kepimpinan Persatuan Siswazah Sabah dan Kelab Remaja Ukhwah, mewakili semua sahabat-sahabat di kedua-dua persatuan, mengucapkan selamat menjalani Program Latihan Khidmat Negara kepada semua adik-adik yang berpeluang mengikutinya. Peluang ini hendaklah digunakan oleh adik-adik dengan sebaik-baiknya. Bukan mudah untuk mendapat tarbiyyah 'askariyyah(ketenteraan), jasadiyyah(fizikal) dan insaniyyah(kemanusiaan) dalam satu-satu masa. Kami juga berbesar hati memberi beberapa peringatan kepada adik-adik sebagai persediaan dan bekalan menjalani latihan;

1. Jangan meremehkan solat

Meremehkan solat membawa maksud meninggalkan terus atau melewat-lewatkan solat. Dalam apa situasi sekalipun, solat perlu diutamakan. Jika terdapat program yang memakan masa solat, adik-adik sebagai orang yang mempunyai kesedaran harus menegur,

"Tuan penceramah / abang fasi, saya diajar oleh Kelab Remaja Ukhwah supaya menunaikan hak Allah pada waktunya. Saya tidak sanggup disoal oleh Allah di akhirat kelak. Izinkan saya keluar sebentar menuanikan kefardhuan.."

Selagi solat dijaga, insyaAllah diri dan hati adik-adik sedikit-sebanyak akan terpelihara juga daripada anasir-anasir yang tidak baik.

2. Pilih kawan yang betul

PLKN merupakan medan yang baik untuk mencari teman. Pastikan teman yang dipilih boleh digelar sahabat, mengingatkan ketika lupa dan menegur ketika alpa. JAUHKAN DARIPADA BERKAWAN DENGAN MEREKA YANG JELAS MELAKUKAN PERKARA-PERKARA YANG MELANGGAR SYARIAT SEPERTI MEROKOK, BERSOSIAL SECARA BERLEBIHAN DAN SEBAGAINYA JIKA TIDAK YAKIN MAMPU MEMBAWA MESEJ DAKWAH. Jangan sekali-kali menggadai prinsip dan pegangan supaya dilihat mengikuti trend semasa dan fesyen terkini. Beranikan diri untuk menjadi golongan yang ganjil. Paling penting. PLKN bukan ruang mencari teman sehidup semati!

'Datang Islam dalam keadaan yang ganjil, dan ia pergi sebagaimana keadaan ia datang (yakni ganjil), beruntunglah orang-orang yang ganjil' Al-Hadis

3. Tonjolkan potensi diri

Syiar Islam didokong oleh orang Islam ke mana sahaja mereka pergi. Kemampuan untuk memberikan idea dan pandangan, kebolehan berpidato dengan baik, malah keinginan yang tinggi untuk bertanya dan berani untuk mencuba adalah sebahagian daripada syiar orang Islam. Libatkan diri secara efektif dalam setiap aktiviti yang dijalankan selagi tidak berlanggar dengan syariat. Adik-adik juga wajib menonjolkan akhlaq yang paling baik dan mulia sebagai contoh kepada yang lain.

4. Belajar untuk berkata tidak, ingatlah orang tersayang

Seandainya terdapat anasir yang tidak baik mula mendekati atau menghantui, cepat-cepat beristighfar dan menjauhkan diri. Belajar untuk berkata tidak, samada kepada gadis cantik yang menghulurkan kasih-sayang, kawan yang menghulurkan rokok atau penyelaras yang menyuruh terlibat di dalam program hiburan berlebihan dan majlis lagho (sia-sia) sekalipun.

"Kalau saudara-ri nak mencari murka Allah, carilah, saya belum berani berbuat demikian," adalah jawapan yang biasanya membuatkan kita tidak lagi diganggu. Apapun, kekalkan hubungan baik dengan semua pihak, dan dengan setiap langkah, ingatlah Allah, ingat kegigihan Nabi Muhamma s.a.w membawa Islam dan ingat ibubapa, adik-beradik dan kami yang inginkan adik-adik menjadi pejuang-pejuang agama, bangsa dan negara suatu hari nanti!

Selamat berPLKN!


0 comments: