Footer Right Content

Thursday, June 5, 2008

.: TIPS MENYINTAI ALLAH :.



Soalan:

Sebenarnya dalam hidup saya, saya rasa kosong saya ingin mencari satu kepastian....
Soalan saya bagaimanakah kita nak bercinta dengan Allah, iaitu cinta yang betul -betul kepadanya, sebab saya lihat kalau bercinta dengan makhluk sesama makhluk lama kelamaan kita akan alpa. Jadi, saya ingin tahu apakah tips untuk kita bercinta dengan Yang Maha Kuasa?


Jawapan:

Bercinta dengan Allah bukanlah sepayah bercinta dengan makhluk. Malah Allah SWT memerintahkan semua makhluk manusia mencintaiNya dan mencintai RasulNya lebih dari segala-galanya dalam hidup ini. Orang yang tidak berbuat demikian dikira tidak beriman. Al-Quran dengan jelas menerangkan sesiapa yang cintakan Allah hendaklah mengikut semua ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi menjelaskan apabila Allah SWT itu cinta kepada hamba-hambaNYA, Ia akan menguji hamba-hambaNya itu. Ini bermakna seseorang yang bercinta dengan Allah hendaklah mematuhi segala titah perintahnya dan menjauhi segala larangannya yang diturunkan kepada rasulNya. Ia juga harus tabah menghadapi ujian Allah samada berbentuk ujian nikmat mahupun ujian berbentuk kesusahan dan pemderitaan.
Ia juga mesti tidak takut kepada seseorang dalam memperkatakan kebenaran kecuali kepada Allah semata-mata. Dalam sebuah hadis riwayat Al-Bukhari menjelaskan seseorang yang bercinta dengan Allah hendaklah melaksanakan segala yang difardukan oleh Allah. Ia akan semakin hampir dan dekat dengan Allah apabila ia melaksanakan segala ibadat sunat.
Di kala itu Allah SWT akan mengawasi pendengarannya dari mendengar sesuatu yang haram, memelihara penglihatannya dari melihat sesuatu yang haram dan tangannya dari memegang sesuatu yang bukan miliknya dan haram pula. Allah SWT akan memperkenankan segala permintaannya dan akan memberi pertolongan kepadanya.
Kesimpulannya bercinta dengan Allah ialah kewajipan semua makhluk dan ia dilakukan dengan cara melakukan segala perkara yang diredai oleh Allah baik yang fardu mahupun yang sunat sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah SAW di samping meredai qadak dan qadarNya.

(Syaza)
KRU,KK

0 comments: